PETALING JAYA – Dalam tempoh lapan bulan pemerintahan Kerajaan Perpaduan, inflasi keseluruhan mereda daripada 4.0 kepada 2.0 peratus.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, inflasi dalam sektor komunikasi mereda daripada 0 peratus kepada -3.7 peratus.
“Di pihak KKD, Insya-Allah pelbagai inisiatif mengurangkan beban kewangan rakyat dalam sektor komunikasi akan diteruskan.
“Kita akan terus bekerja dan berkhidmat untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata, inflasi Malaysia telah mereda kepada 2.0 peratus pada bulan lepas.
Ia adalah yang terendah pada tahun ini dengan mata indeks mencatatkan 130.5 berbanding 127.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE