fbpx

Ibu berusia 78 tahun gagahkan diri jaga anak terlantar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wagirah (kanan) memberi minuman kepada Roslijah yang lumpuh separuh badan akibat angin ahmar di rumah mereka di Kampung Sri Aman, Parit Tengah Rengit, Batu Pahat.

BATU PAHAT – Walaupun sudah uzur dimamah usia, namun seorang ibu tetap menggagahkan diri untuk terus memberikan kasih sayang kepada anaknya yang kini hanya mampu terba­ring selepas lumpuh separuh badan akibat penyakit angin ahmar.

Wagirah Jemadir, 78, tidak pernah lekang dengan anaknya, Roslijah Hoyung, 59, selepas di­serang penyakit tersebut sejak lima tahun lalu.

Menurut Wagirah, anak sulung daripada lima beradik itu kini hanya mampu terbaring di atas katil tanpa boleh bergerak termasuk untuk mandi.

Katanya, walaupun terpaksa bersusah payah kerana dirinya turut kurang cergas, namun dia tetap menjaga Roslijah terutama dari aspek penjagaan dirinya.

“Selain lumpuh akibat angin ahmar, anak saya juga adalah golongan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran sejak kecil dan masih belum berkahwin. Selama ini saya yang menjaganya.

“Bagaimanapun, lima tahun lalu, anak saya tiba-tiba diserang angin ahmar,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Sri Aman, Parit Tengah Rengit, di sini baru-baru ini.

Wagirah memberitahu, dia turut dibantu menantunya yang tinggal berjiran setiap kali memerlukan pertolongan untuk memandikan anaknya itu.

“Kalau saya seorang memang tidak mampu, saya terpaksa minta bantuan menantu,” ujar­nya.

Terdahulu, keluarga itu dikunjungi oleh Speaker Dewan Ne­geri Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, kunjungan ke rumah wanita ini adalah sebahagian daripada Program Prihatin Dewan Undangan Negeri Rengit yang menyantuni warga emas serta penghidap penyakit kronik ­seperti ini.

Katanya, kunjungan itu akan memudahkan pihaknya untuk mengenal pasti tindakan sewajarnya bagi mereka yang memerlukan. Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Wagirah di talian 019-700 0152.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI