IPOH – Dua lelaki berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan mengedar dadah jenis nimetazepam seberat 413.8 kilogram (kg), minggu lalu.
Tertuduh, Choong Boon Wah dan Seng Chung Leong masing-masing berusia 44 tahun, mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha. Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis nimetazepam seberat 413,826 gram di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor pada pukul 9.15 pagi, 15 Oktober 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Asyraaf Abu Bakar Hamzah.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 November depan untuk sebutan kes bagi laporan kimia.
Sementara itu dalam prosiding di Mahkamah Majistret berasingan, kedua-dua lelaki terbabit mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Jesseca Daimis atas pertuduhan memiliki dua laras senjata api tiruan jenis HK416 dan HKMP5 beserta satu kelopak pada pukul 9.30 pagi di lokasi dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata api 1969 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala Asyraaf mewalili kedua-dua anak guamnya.
Tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh dan kes akan disebut semula pada 6 Oktober depan untuk serahan dokumen.
Media pada Jumaat lalu melaporkan, satu sindiket pengedaran dadah tumpas berikutan tangkapan ke atas dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Chemor.
Serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak di premis yang dijadikan kilang memproses dan membungkus dadah itu berjaya merampas dadah bernilai RM30.6 juta.
Turut dirampas dalam serbuan itu, pelbagai mesin dan peralatan yang digunakan untuk memproses dan membungkus dadah selain dua laras senjata api tiruan.- KOSMO! ONLINE