PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Pegawai Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan melaksanakan Tindakan Khas Angkut, Tunda dan Kompaun Kesalahan Lalu Lintas di Jalan Ampang dan Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur malam tadi.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, DBKL mengeluarkan sebanyak 67 notis kompaun, 24 tindakan tunda kereta dan 15 tindakan angkut motosikal terhadap kenderaan yang membuat kesalahan halangan lalu lintas termasuk meletak kenderaan di laluan awam dan tempat yang tidak dibenarkan menerusi Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Operasi dijalankan berikutan DBKL menerima aduan awam terdapat peletakan kenderaan secara menghalang kelancaran lalu lintas dan halangan laluan pejalan kaki serta laluan orang kelainan upaya (OKU).
“Kenderaan yang ditunda dan diangkut dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk penyimpanan sementara dan proses dokumentasi/tuntutan,” kata kenyataan itu hari ini.
DBKL berkata, pengguna jalan raya dan pemilik premis diingatkan mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas ditetapkan dan memastikan kenderaan diletakkan ditempat sepatutnya tanpa menghalang dan menggangu pejalan kaki atau kelancaran lalu lintas. – KOSMO! ONLINE