PETALING JAYA – Berbaki lebih kurang tiga bulan dari sekarang, rata-rata calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengakui sudah bersedia untuk menghadapinya, biarpun pada mulanya sedikit tertekan apabila mengetahui keputusan kerajaan untuk memperawalkan peperiksaan itu kepada 5 Disember ini.
Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) memuat naik pemakluman mengenai tarikh awal peperiksaan SPM Tahun 2023 yang akan bermula pada 5 Disember ini hingga 7 Mac 2024.
Rata-rata mereka memberitahu, calon peperiksaan itu perlu menggandakan usaha dengan membuat latih tubi lebih kerap, selain mendapat bantuan daripada guru-guru dan ibu bapa dalam membuat persediaan dalam tempoh agak singkat itu.
Seorang calon SPM dari Shah Alam, Selangor, Humaira Akmal, 17, berkata, dia pada mulanya terkejut apabila mengetahui perkara itu daripada ibunya, namun akan tetap berusaha sebaik mungkin dalam tempoh yang boleh dikatakan singkat itu.
“Memang terkejut dengar SPM diawalkan sebab di sekolah pun, banyak lagi yang belum belajar. Sekarang saya banyak habiskan masa dengan ulang kaji pelajaran dan tuisyen, nampaknya saya kena kerja keras lagi,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Rakannya, Nurain Irdina Hafiz, 17, pula berkata, sekarang dia tidak boleh main-main lagi, setiap hari sekurang-kurangnya belajar satu atau dua mata pelajaran supaya tidak tertinggal.
“Kelas tambahan dah mula awal bulan lalu dan cikgu beritahu lepas cuti seminggu, kami semua akan sambung buat kelas tambahan. Insya-Allah sempat,” katanya.
Di George Town, Pulau Pinang, seorang pelajar tingkatan lima, Aiman Nasrul, 17, berkata, dia telah bersiap sedia menghadapi peperiksaan SPM 2023 yang bakal berlangsung kurang empat bulan lagi.
“Ketika ini, kami sudah didedahkan dengan banyak kelas tambahan dan tuisyen di sekolah, termasuk hujung minggu. Kami kini dalam tempoh menghabiskan silibus, selain melakukan tugasan yang diberikan guru.
“Lagi cepat duduki SPM lagi bagus dan kami tak perlu tunggu lama-lama,” katanya.
Di Kuala Terengganu, Terengganu, calon SPM dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, Iqhwan Farihin Mohamad Hazman, 17, berkata, dia akan menggiatkan latihan menjawab kertas peperiksaan bermula pada cuti persekolahan bermula sekarang.
“Masa sudah semakin singkat, saya bercadang memendekkan cuti persekolahan ini untuk pulang ke asrama awal,” katanya.
Tambahnya, pihak sekolah juga bercadang menganjurkan bengkel ulang kaji secara intensif serta teknik
menjawab soalan SPM tidak lama lagi.