fbpx

Benzema buat masalah di Al-Ittihad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BENZEMA meminta tugas selaku kapten Al-Ittihad, namun permintaan itu tidak dilayan Espirito Santo. - AFP

JEDDAH – Situasi dalam pasukan Al-Ittihad ketika ini ibarat ‘bom meletus’ apabila jurulatih, Nuno Espirito Santo didakwa tidak gembira dengan kehadiran bekas penyerang Real Madrid, Karim Benzema.

Pemain Perancis itu mengambil keputusan menyertai juara Liga Arab Saudi tersebut pada jendela perpindahan kali ini selepas meninggalkan Los Blancos yang disertainya sejak 14 tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut beberapa laporan, sudah timbul rasa tidak puas hati antara Benzema dan Espirito Santo yang mungkin akan memberi kesan terhadap keharmonian pasukan bagi mengharungi saingan musim ini.

Difahamkan, Espirito Santo memberi laporan kepada pihak pengurusan Al-Ittihad bahawa Benzema tidak sesuai dengan perancangan pasukan selain perpindahan Benzema bukanlah atas permintaannya.

Dalam pada itu, Benzema juga didakwa meminta lilitan kapten diserahkan kepadanya, namun bekas pengurus Tottenham Hotspur itu enggan melayan permintaan tersebut, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati Benzema.

Situasi tersebut ternyata membuatkan Benzema kurang selesa, sekali gus menimbulkan spekulasi dia mungkin mencari jalan keluar meskipun baru dua bulan menyertai pasukan itu dengan menerima bayaran gaji £172 juta (RM1.01 bilion) setahun.

Selain Benzema, Al-Ittihad turut membawa masuk beberapa lagi pemain terkemuka dalam kancah bola sepak Eropah seperti Jota, bintang Chelsea, N’Golo Kante serta tonggak tengah Liverpool, Fabinho. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI