LIPIS – Jasa dan pengorbanan anggota tentera dan polis pada zaman darurat yang berjuang menentang pengganas komunis demi keamanan negara tidak ternilai.
Mereka berkorban darah dan air mata serta emosi meninggalkan anak isteri yang mendambakan kasih sayang, malah ada yang pulang hanya jasad atau kehilangan anggota badan dan banyak yang terkoban di medan perang.
Mengimbau kembali peristiwa berdarah diserang hendap komunis 45 tahun lalu di Pekan Damak, Jerantut, bekas tentera, Wan Norasmara Wan Sulaiman, 66, berkata, kejadian pada subuh 1978 itu masih kuat dalam ingatannya kerana ia hampir meragut nyawanya.
Katanya, insiden berkenaan berlaku dalam satu sekatan jalan di Pekan Damak, menyebabkan dia cedera parah.
Ceritanya, pada masa itu dia yang berumur 21 tahun menyertai platun yang ditugaskan untuk menjaga lokasi berkenaan sepanjang masa bagi mengekang pergerakan dan kemaraan pengganas komunis.
“Pada waktu itu, saya dan beberapa rakan setugas, antaranya Wan Nor Azam Shah sedang bertugas di pos kawalan sekatan jalan raya pada pukul 6.05 pagi, 27 September 1978. Ketika berkawal, kami tiba-tiba diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis yang datang dari dua arah bertujuan membunuh dan merampas senjata.
“Dalam serangan itu saya cedera parah ditembak di paha kanan. Tanpa menghiraukan kesakitan yang dialami, saya merangkak masuk ke pos kawalan mencapai senjata dan membalas tembakan.
“Melihat saya cedera, dua rakan sepasukan segera membalas tembakan, menyebabkan sekumpulan komunis melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Betong di sini semalam.
Menurutnya, dia bersyukur walaupun cedera parah, tetapi pulih sepenuhnya setelah menjalani rawatan di hospital.
Wan Norasmara berkata, pihak tentera menjalankan sekatan jalan raya di pekan berkenaan kerana terdapat gerakan anggota komunis aktif di Jerantut, Raub dan Bentong.
Menurutnya, pada masa itu Jalan Jerantut-Kuala Lumpur merupakan laluan penting ke ibu negara dan sekatan jalan raya yang dibuat tentera membantutkan pergerakan kumpulan komunis berkenaan.
Katanya, dia pernah ditugaskan membuat sekatan jalan raya di Cheroh dan Simpang Teranum di Raub; Ketari (Bentong) dan juga Batu Balai, Jerantut.
Ujarnya, pada masa itu, dipercayai ramai terpengaruh dengan fahaman dan agenda komunis.
Sementara itu, ujarnya, serangan hendap komunis itu sama dengan modus operandi serangan yang dibuat di Balai Polis Kuala Krau, Jerantut; Balai Polis Mengkarak (Bera) dan Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor.
“Generasi muda wajar menonton semula filem Bukit Kepong, Sarjan Hassan dan Matahari yang memaparkan pengorbanan tentera dan polis menentang komunis dan tentera Jepun.
“Sebagai bukti komunis pernah bermaharajalela di daerah tersebut, saya masih menyimpan keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28 September 1978 bertajuk Askar Wataniah cedera kena tembak,” ujarnya.