fbpx

Bekas pengurus syarikat tipu ejen Perkeso didenda RM45,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Al Bukhari (kiri) bersama peguamnya di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. -Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Seorang bekas pengurus syarikat didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua daripada empat pertuduhan menipu ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Al Bukhari Abdullah,38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan keempat, tertuduh didakwa secara tidak jujur, menipu ejen Perkeso bagi menuntut insentif bawah program itu bernilai RM22,880.

Tertuduh yang ketika itu pengurus Syarikat Vshine Metal & Plastic Trading didakwa dengan niat memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan dua nama dalam senarai pekerja Data Penjana Kerjaya 3.0 bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) sedangkan individu yang dinamakan itu bukan kakitangan syarikat berkenaan.

Perbuatan itu mendorong Perkeso menyerahkan RM9,280 dan RM13,600 ke dalam akaun bank milik syarikat tertuduh.

Muhammad Al Bukhari dituduh melakukan kesalahan itu di Perkeso Pulau Pinang di Seberang Perai Tengah antara 22 November dan 5 Disember 2021.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes tersebut diketuai Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan dibantu Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam, V. Parthipan.

Dalam prosiding itu, Parthipan merayu agar denda minimum dikenakan anak guamnya atas faktor pengakuan bersalah sekali gus menjimatkan masa dan kos semua pihak.

Katanya lagi, tertuduh turut berdepan masalah kewangan dan kini dalam proses penceraian selain perlu menyara dua anaknya yang masing-masing berusia tiga dan satu tahun.

Walau bagaimanapun, Wan Shaharuddin membantah hukuman minimum susulan kes itu membabitkan kepentingan awam.

“Terima kasih kepada tertuduh kerana mengaku bersalah dan memendekkan tempoh perbicaraan namun mahkamah perlu memberikan hukuman sewajarnya sebagai ‘correct message’ buat orang ramai,” katanya.

Hakim Zulhazmi memerintahkan tertuduh membayar denda RM10,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan denda RM35,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan keempat.

Sementara bagi pertuduhan kedua dan ketiga yang turut dikemukakan untuk kes itu, ia dipertimbangkan untuk diputuskan sebagai Take Into Consideration (TIC) oleh pihak mahkamah. Kosmo! Difahamkan yang tertuduh telahpun membayar denda yang dikenakan terhadapnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI