MELAKA – Seorang bayi perempuan yang masih bernyawa ditemui di dalam tong sampah berhampiran Flat Langkawi, Pantai Emas Klebang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, bayi tersebut dipercayai baru dilahirkan apabila ditinggalkan dalam keadaan masih bertali pusat dan dibalut menggunakan tuala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian disedari oleh seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang terdengar suara mencurigakan dari tong sampah berkenaan.
“Remaja tersebut memberitahu kepada bapanya, yang merupakan pengadu dalam kes ini mengenai perkara itu dan pengadu pergi ke tong sampah untuk memeriksa suara didengari anaknya.
“Pengadu kemudian menjumpai satu beg plastik putih dan mengesyaki bunyi tersebut adalah suara bayi yang baru dilahirkan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, lelaki terbabit yang berusia 51 tahun kemudian bergegas membawa beg plastik berisi bayi tersebut ke Balai Polis Batang Tiga bagi mendapatkan bantuan.
“Pengadu datang ke balai polis membawa beg plastik berisi bayi itu pada pukul 10.50 malam dan anggota telah meminta pasukan perubatan dari Hospital Melaka untuk hadir ke balai bagi memberikan bantuan awal.
“Pegawai perubatan tiba pada pukul 11.10 malam dan pemeriksaan kesihatan dilakukan, selain tali pusat beserta uri turut dipotongkan,” ujarnya.
Jelasnya, setakat ini bayi tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini berada di wad penjagaan rapi Hospital Melaka.
Christopher berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE