TEMERLOH – Anak kepada seorang lelaki yang tular dikatakan meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat asar berjemaah, Sabtu lalu, mendedahkan bapanya sebenarnya menghembuskan nafas terakhir di hospital.
Nor Atikah Abd Rahman, 34, memberitahu, bapanya, Abd Rahman Rapie, 64, yang juga seorang pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) telah rebah di Masjid Paya Luas, di sini.
“Memang benar ayah pengsan semasa duduk di antara dua sujud ketika solat jemaah di masjid dan jemaah bergegas membawa ayah ke hospital untuk rawatan.
“Ayah bukan meninggal dunia di masjid sebaliknya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Isnin lalu,” katanya.
Jelas anak kedua daripada enam beradik itu, bapanya meninggal dunia selepas mengalami pendarahan otak.
“Allahyarham memang ada penyakit darah tinggi dan tidak sangka perkongsian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di Facebook saya, tular.
“Saya terkejut kerana tajuk yang dimuat naik telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham hingga ada sesetengah netizen menyalahkan jemaah lambat memberikan pertolongan,” ujarnya.
Katanya, situasi itu menyebabkan dia sekeluarga terutama ibunya bimbang kejadian tular itu menjejaskan imej masjid berkenaan.
“Saya harap penjelasan ini dapat memperbetulkan kekeliruan yang timbul susulan penularan video tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, bapanya akan ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah, malah pernah menyatakan teringin meninggal dunia di masjid.
“Arwah ayah tegas bab agama lagi-lagi bab solat jemaah di masjid bagi anak lelaki. Zikir, tasbih sentiasa di tangan. Setiap kali subuh ayah akan mengetuk pintu bilik anak-anak mengajak solat berjemaah di masjid.
“Tiada sebarang perubahan sikap cuma sebelumnya dia beritahu mahu berehat daripada menguruskan syarikat dan menyerahkan segala urusan kepada adik lelaki. Dia mahu beribadah dan kehidupan yang tak terikat dengan tekanan kerja,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki seakan-akan menahan kesakitan ketika sedang menunaikan solat asar berjemaah di Masjid Paya Luas di sini pada Sabtu lalu. – KOSMO! ONLINE