KUALA LUMPUR -Polis Kuala Lumpur telah menerima laporan berhubung video tular tindakan seorang lelaki yang membaca doa dalam satu majlis upacara keagamaan penganut agama lain.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan diterima pada Selasa lalu.
“Setakat ini, kita terima satu laporan mengenai kejadian itu.
“Pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sedang giat menjalankan siasatan,” ujarnya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyiasat isu bacaan doa oleh orang islam pada majlis yang turut melibat acara doa orang bukan Islam.
Jabatan tersebut dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum tentang perkara yang berlaku dalam acara ‘Pecah Tanah’ di sekitar Kuala Lumpur baru-baru.
Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan amalan tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang menyalahi pandangan hukum atau fatwa berkaitan yang sedang berkuat kuasa. -KOSMO! ONLINE.