TEMERLOH – Seorang jemaah yang meninggal dunia baru-baru ini dikatakan diserang strok ketika duduk antara dua sujud sewaktu solat asar berjemaah di sebuah masjid di sini.
Setiausaha Jawatankuasa Masjid Ubudiyah Kampung Paya Luas, Hilmi Muda berkata, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) arwah Abd Rahman Rapie kelihatan sedang menahan sakit dan membongkokkan sedikit badannya.
“Selepas memberi salam, ada jemaah yang perasan keadaan arwah lalu memaklumkan kepada jemaah lain. Melihat keadaan arwah separuh sedar, jemaah segera menghubungi ambulans.
“Jadi dakwaan kata jemaah lambat membantu arwah selepas rebah dan pengsan itu tidak betul,” katanya ketika ditemui semalam.
Menerusi video tular berdurasi tiga minit 4 saat itu, Abd. Rahman dilihat tiba-tiba rebah dan pengsan dipercayai terkena serangan strok.
Hilmi berkata, ketika dalam keadaan lemah, arwah Abd. Rahman sempat berpesan supaya beritahu keadaannya kepada isteri dan anak-anaknya.
“Ada jemaah minta cucunya yang turut sama menyertai solat berjemaah untuk pulang ke rumah dan meminta kad pengenalan bagi memudahkan urusan hospital.
“Pemergian arwah begitu dirasai penduduk dan jawatankuasa masjid. Arwah memang kerap solat jemaah di sini dan banyak menyumbang kepada pengurusan masjid serta penduduk. Arwah juga seorang yang dermawan dan ringan tulang. Beliau antara yang rajin melaksanakan korban setiap tahun,” katanya.
Sementara itu, anak arwah, Nor Atikah, 34, berkata, sejak penularan video tersebut, dia memberi banyak panggilan telefon dan mesej bertanyakan mengenai kejadian yang menimpa bapanya.
“Terima kasih kepada jemaah masjid yang membantu arwah ayah semasa pengsan,” jelasnya.
Nor Atikah turut berharap agar netizen menghentikan segera daripada melemparkan komen negatif terhadap jemaah masjid kerana didakwa lambat bertindak.