Sejak akhir-akhir ini, isu silibus pendidikan tertentu yang dikatakan terlalu tinggi semakin kerap dibangkitkan ibu bapa dan guru.
Bukan sahaja rakyat marhaen, malah golongan profesional yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan juga sudah mula bersuara.
Keghairahan menggubal silibus kononnya dikatakan perlu selaras dengan kemahiran murid yang lebih ke hadapan kini perlu dikaji sedalam-dalamnya.
Benar ada dalam kalangan mereka dikategorikan sebagai genius, namun jangan dilupakan mereka yang selebihnya.
Kanak-kanak, tetap kanak-kanak. Begitu juga remaja di alam sekolah menengah. Mereka juga perlu ruang untuk menikmati zaman mereka seadanya.
Bukan semata-mata tentang mengulang kaji pelajaran yang semakin rumit dan memerlukan aras pemikiran tinggi, tidak selaras dengan umur mereka.
Jujurnya sebagai ibu kepada dua anak, penulis juga dapat merasakan tempiasnya.
Terus terang, sebelum ini penulis merupakan seorang ibu yang sangat tegas dalam menentukan perihal pembelajaran anak-anak.
Sehinggakan, penulis sanggup memperuntukkan masa tertentu untuk mengulang kaji sendiri setiap mata pelajaran supaya ia boleh diajarkan kepada mereka dengan sempurna.
Sasaran pula ditetapkan bagi setiap anak dengan sentiasa memantau jadual belajar di rumah dan aktiviti yang perlu dibuat setiap hari.
Namun, lama-kelamaan penulis mula menyedari banyak silibus kini semakin rumit dan ada ketikanya tidak tercapai dek akal untuk diselesaikan oleh murid sekolah rendah, mahupun peringkat menengah.
Adakalanya sesi pembelajaran berakhir dengan tangisan anak-anak yang pada awalnya bersemangat untuk belajar bersama penulis, namun kecundang, tidak lagi berminat untuk meneruskannya.
Daripada keadaan itu penulis mula memikirkan kesihatan mental anak-anak, malah penulis sendiri.
Jika penulis sendiri tertekan, apatah lagi anak-anak yang terpaksa menghadap situasi sama setiap hari tanpa gagal selagi mana perlu ke sekolah?
Oleh kerana itu penulis kini mengambil pendekatan baru, dengan mengambil kira kesihatan mental dan emosi kami.
Matlamat yang sama ingin berjaya dalam pelajaran, namun ketegasan penulis dilonggarkan sedikit di mana tiada gesaan atau tekanan yang boleh merosakkan mental juga emosi masing-masing.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus secara besar-besaran bagi membincangkan isu berkaitan kurikulum dan silibus pelajar sekolah.
Fadhlina berkata, inisiatif berkenaan sebagai persediaan kitaran silibus baharu yang dijadualkan bakal dilaksana pada 2027.
“Sesi bagi kurikulum akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dengan semua pihak terlibat dan semua isu yang disentuh akan dibincangkan nanti.
“Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti isu itu dengan lebih serius dan memberi jaminan sesi libat urus berkenaan akan melibatkan semua pihak,” katanya.
Jaminan serta inisiatif beliau dan pihak kementerian mengambil kira keluhan ibu bapa serta pendidik yang sudah bertahun itu wajar dipuji.
Walaupun pelaksanaannya mungkin tidak sempat dinikmati anak-anak penulis, sekurang-kurangnya ia masih diperlukan jutaan mereka yang lain di luar sana.