fbpx

Tolong selamatkan nyawa anak saya – Bapa Sufi Syafrina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan (kiri) menyerahkan alat bantuan pernafasan BiPAP kepada bapa Sufi Syafrina, Mohd Syafiq (dua dari kiri) di Kajang hari ini.

KAJANG – Bapa kepada bayi berusia tujuh bulan, Sufi Syafrina Mohd. Shafiq yang menghidap Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1, merayu kepada orang ramai supaya membantu menyelamatkan nyawa anaknya.

Mohd. Shafiq Idrus, 38, berkata, Sufi Syafrina memerlukan dana sekurang-kurangnya RM2 juta sebelum berusia dua tahun bagi merawat penyakitnya, namun dana terkumpul setakat ini cuma kira-kira RM160,000.

“Umur Sufi Syafrina sekarang tujuh bulan. Tempoh yang diberi oleh doktor adalah sebelum usianya dua tahun kena ambil suntikan yang disyorkan.

“Kalau tidak dapat sasaran itu hanya berserah kepada Allah S.W.T. Kita manusia tidak tahu tentang nyawa cuma berserah banyak-banyak kepada Allah S.W.T.

“Harapan saya pada rakyat Malaysia, pihak kerajaan mahupun pihak-pihak korporat agar dapat membantu menyelamatkan nyawa anak saya. Harapan saya amat tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di Sungai Kantan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan berupa alat bantuan pernafasan jenis BiPAP (Bilevel Positive Airway Pressure) bernilai RM29,500 untuk kegunaan Sufi Syafrina di rumah oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Mohd. Shafiq menerangkan, Sufi Syafrina sebenarnya memerlukan suntikan Zolgensma berharga RM9 juta bagi merawat penyakitnya.

Bagaimanapun, kata beliau, doktor mengemukakan alternatif lain untuk merawat penyakit tersebut iaitu menggunakan suntikan Spiranza yang berharga RM2 juta.

Jelas beliau, perbezaan antara kedua-dua suntikan tersebut adalah suntikan Zolgensma hanya diberi sekali berbanding Spiranza sebanyak enam suntikan setahun dan empat suntikan tahun berikutnya.

“Pihak hospital ada tanya keputusan keluarga sama ada guna Zolgensma atau Spiranza. Saya cakap berpandu kepada kutipan dana. Kalau cukup RM2 juta, segerakan Spiranza tidak perlu tunggu suntikan Zolgensma,” katanya.

Sementara itu, Tiimbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Yusof berkata, selain sumbangan BiPAP, pihaknya dalam penilaian bantuan lain kepada Sufi Syafrina.

Menurut beliau, bantuan lain tersebut merangkumi ubat-ubatan kira-kira RM40,000 sebulan yang diperlukan bayi tersebut dan perbincangan mengenainya akan dilakukan dengan pihak hospital.

“Sebelum ini ibu bapanya terpaksa menyewa alat pernafasan untuk anak ini. Dengan sumbangan BiPAP oleh LZS mereka tidak lagi perlu menyewa.

“Bantuan ini dalam kategori asnaf gharimin untuk bantuan ubat-ubatan dan peralatan bagi meringankan beban adik ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Mohd. Shafiq di talian 011-59787879 atau sumbangan terus ke akaun Maybank atas namanya 562021680453. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI