fbpx

Tilawah al-Quran satukan perpaduan, ummah – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin ketika bertitah pada majlis penutupan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa di WTCKL, malam ini.

KUALA LUMPUR- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyifatkan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang dicetuskan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, sebagai inisiatif menyatukan perpaduan rakyat, ummah dan penduduk dunia.

Sultan Nazrin bertitah, ini kerana ummah yang terdiri daripada pelbagai bangsa menguasai pelbagai bahasa dan mengamalkan pelbagai budaya dari serata dunia dipertemukan pada program ini untuk saling berkenalan dan beramah mesra antara satu sama lain.

Baginda bertitah, perkara itu turut selaras dengan seruan Ilahi yang terkandung dalam ayat 13 Surah al-Hujurat.

“Perpaduan merupakan satu daripada teras ajaran Islam. Dalam ayat 103 Surah Ali-Imran, Allah SWT. menyeru umat Islam supaya bersatu dengan berpegang teguh pada ‘tali Allah’, dan tidak berpecah belah, serta mengingatkan umat Islam ketika bermusuhan pada era jahiliah, lalu Allah menyatukan hati sehingga ummah bersatu, mengecap nikmat persaudaraan Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika merasmikan majlis penutup Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63 Tahun 1445 H / 2023 M di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam ini.

Titah Sultan Nazrin, masyarakat yang kuat terbina melalui perpaduan yang kukuh, maka kerana itu perpaduan sangat dianjurkan dan diterapkan menerusi amalan-amalan ibadah serta pelbagai tanggungjawab fardu kifayah lain.

Baginda bertitah, ummah dihimpunkan melalui ibadah-ibadah tersebut terutamanya sewaktu menunaikan ibadah haji apabila semua berhimpun dari serata dunia tanpa mengira bangsa, darjat dan keturunan serta disatukan dalam semangat insaniah.

Titah baginda, persaudaraan insaniah yang terjalin turut diperkukuhkan dengan semangat persaudaraan yang berpegang pada satu akidah yang terbina dari dasar tauhid yang mengaku tiada tuhan disembah melainkan Allah.

“Perpaduan ummah sejagat dan perpaduan rakyat senegara merupakan sumber kekuatan yang tidak boleh ditiadakan. Perpaduan ialah perkara yang wajib diutamakan dan dijiwai oleh insan yang menghayati roh Islam kerana Islam ialah agama yang menekankan kepada aspek keamanan dan perdamaian.

“Umat Islam adalah bersaudara atas dasar tautan roh yang seharusnya berperanan memperkukuh rasa kasih sayang, saling hormat-menghormati serta bersikap sopan terhadap orang lain,” titah baginda.

Bagaimanapun, Sultan Nazrin bertitah, umat Islam perlu sedar bahawa ikatan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan umat akan sentiasa diuji dengan pelbagai perkara yang pada akhirnya membawa kepada perpecahan dan persengketaan yang merugikan.

Titah baginda, fitnah dan menyemaikan rasa benci kini semakin mempengaruhi pemikiran dan pendirian ummah yang mendorong kepada pertelingkahan, keretakan hubungan dan perpecahan.

“Umat Islam sewajibnya memilih untuk melihat elemen-elemen persamaan yang berupaya membina perpaduan ummah dalam semangat ‘biduk lalu kiambang bertaut’.

“Berpeganglah kepada tali Allah agar kita tidak berpecah belah, dalam semangat keimanan bertuhankan Allah, menerima Nabi Muhammad SAW sebagai rasul junjungan, bersolat berkiblatkan Kaabah yang satu, menjadikan al-Quran kitab rujukan yang sama, dalam semangat umat Islam itu bersaudara,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Nazrin menzahirkan harapan semoga acara-acara yang dianjurkan untuk memuliakan kitab suci al-Quran berjaya meningkatkan kefahaman dan penghayatan ummah kepada kandungan yang tersurat serta tersirat dalam kitab suci itu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI