fbpx

Sindiket pemerdagangan manusia Dudley tumpas di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima ahli sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia ditahan di Sarawak. - Foto JIM

PETALING JAYA – Seramai 12 orang lelaki warganegara India yang menjadi mangsa sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia diselamatkan Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi khas Ops Dudley, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam operasi yang dijalankan pada 19 Ogos hingga 22 Ogos di sekitar Sarawak itu berjaya menahan lima orang ahli sindiket tersebut termasuk ketuanya.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada ketua sindiket iaitu seorang lelaki rakyat tempatan berusia 40 tahun yang dikenali sebagai ‘Dudley’ dengan dibantu oleh empat orang lelaki warganegara India berumur antara 25 hingga 40 tahun.

“Pasukan operasi juga berjaya menyelamatkan 12 orang lelaki warganegara India yang menjadi mangsa kepada sindiket ini. Berdasarkan maklumat, mangsa perlu membayar sekitar RM20,000 hingga RM25,000 seorang kepada sindiket untuk menguruskan kemasukan ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, Ruslin berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mei 2022 setelah pintu masuk sempadan negara dibuka semula.

“Modus operandi sindiket adalah menjanjikan pekerjaan di atas kapal kepada mangsa yang akan dibawa ke Malaysia melalui KLIA bagi membolehkan mangsa mendapat penerbangan ke Miri dan Sibu.

“Pasukan operasi turut merampas wang tunai sebanyak RM600, 75 pasport India, tujuh pasport Indonesia, tiga pasport Myanmar, empat buah komputer riba, sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser, sebuah Honda City dan sebuah Suzuki Vitara,” jelasnya.

Ruslin berkata, dalang utama warga tempatan telah direman selama tujuh hari manakala empat lelaki warga India ditahan di Depot Imigresen Semuja.

“Mereka semua ditahan untuk disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Sementara itu, kesemua mangsa yang diselamatkan ditempatkan di rumah perlindungan mangsa ATIPSOM,” tambahnya.

Katanya, JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang.

“Orang ramai juga digesa supaya terus menyalurkan sebarang maklumat yang dapat membantu jabatan dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI