SEBERANG PERAI – Seorang penagih dadah tegar tergamak membakar rumah milik orang tuanya di Pokok Sena, Kepala Batas, di sini hanya kerana permintaannya untuk membeli rokok tidak dituruti adiknya, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, suspek berusia 47 tahun itu bertindak sedemikian ketika berada seorang diri di rumah yang didiami bersama ibu dan adiknya.
Rumah dua tingkat berkenaan adalah jenis separa kayu dan simen serta mempunyai lima bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, suspek merupakan bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah pada Jun lalu.
Menurutnya, setengah jam sebelum kejadian berlaku, suspek dikatakan telah mengamuk kerana memarahi adiknya yang tidak mahu membelinya rokok.
“Adiknya tidak tahan dengan amukan suspek dan keluar ke Balai Polis Kepala Batas untuk membuat laporan tentang kejadian itu.
“Semasa dalam perjalanan ke balai polis, jirannya telah menghubunginya dan memaklumkan yang suspek telah membakar rumah dan berjaya menangkap suspek. Keadaan kebakaran rumah kira-kira 95 peratus,” katanya kepada Kosmo!, di sini, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, ketika kejadian, ibu saspek keluar melawat anak perempuannya di Balik Pulau.
“Kebakaran yang berlaku telah memusnahkan semua harta dalam rumah termasuk empat buah motosikal lama yang ditempatkan di bahagian dapur rumah.
“Akibat kejadian itu, rumah jiran mereka turut mengalami kebakaran dinding dapur,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya lagi, hasil pengakuan awal suspek mengatakan yang dia telah membakar langsir rumah bilik tidurnya dengan pemetik api sehingga terbakar keseluruhan rumah.
“Hasil ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine. Suspek juga didapati mempunyai 14 rekod jenayah lampau,” tambahnya suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api. – KOSMO! ONLINE