IPOH – Kerajaan akan cuba menyediakan peruntukan tambahan bagi memperbaiki dan menyelenggara perumahan polis menerusi Belanjawan 2024 yang dibentang Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini, sekitar 40 ke 60 peratus perumahan polis di seluruh negara selamat diduduki manakala selebihnya berada dalam keadaan uzur.
“Perumahan polis ini saya tidak perlu tanya elok atau tidak, memang saya tahu (keadaannya) tidak diselenggara (sama ada) rumah tentera atau polis.
“Insya-Allah, dalam Belanjawan Madani pada Oktober ini, saya akan cuba ikhtiar untuk dapatkan peruntukan tambahan bagi perumahan.
“Peruntukan itu untuk baiki yang asas dahulu, kemudian yang lain-lain itu kita akan beri perhatian,” katanya ketika berucap pada Jamuan Rakyat Perdana Menteri bersama warga dan keluarga Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Ulu Kinta di Dewan Briged Utara PGA di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tambahan itu mampu disediakan berikutan keyakinan pelabur terhadap Malaysia semakin baik sekali gus mendorong banyak pelaburan masuk ke dalam negara.
Katanya, sebagai contoh, Elon Musk (Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc) telah bersetuju memilih Cyberjaya sebagai ibu pejabat Tesla bagi kawasan Asia Tenggara manakala syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) pula bersetuju menjadikan Tanjung Malim sebagai pengkalan (pembangunan dan pengkomersilan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV)).
“Malah, syarikat semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG juga baru membuat keputusan tiga minggu lalu, untuk memilih Malaysia dengan pelaburan sekitar RM20 bilion.
“Alhamdulillah, jika tidak ada pelaburan ini, saya tidak mampu umum peruntukan tambahan kerana tiada hasil. Inilah kerangka yang kita harus faham,” ujarnya.
Pada 15 Julai lalu, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE