fbpx

Penduduk Kepala Batas bantah konsert Viral Lagu TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster tular penganjuran Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 yang mendapat bantahan penduduk setempat di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diminta untuk membatalkan kelulusan penganjuran konsert Viral Lagu TikTok yang akan berlangsung pada 30 September depan di Dewan Millenium, Kepala Batas di sini.

Timbalan Ketua Menteri 1, Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, konsert berkenaan telah mendapat bantahan penduduk setempat yang dianggap tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam, malah akan diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul.

“Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai konsert Viral Lagu TikTok yang dijadual berlangsung pada 30 September 2023, di Dewan Millenium, Kepala Batas.

“Selaku Exco Pembangunan Agama Islam, saya telah meminta pihak berkuasa tempatan MBSP untuk membatalkan kelulusan konsert berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini tular poster penganjuran Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 yang menampilkan artis antaranya Baby Shima dan beberapa artis Indonesia.

Menurut beliau, pihak penganjur telah memohon memindahkan lokasi konsert ke Batu Kawan dengan syarat-syarat tambahan.

“Warga setempat telah mengemukakan bantahan rasmi mereka kepada Datuk Bandar MBSP,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi Facebook turut membantah penganjuran konsert berkenaan.

“Setelah mendapat maklumat terperinci, saya telah mengarahkan #TeamBertamKita mengemukakan bantahan rasmi kepada Datuk Bandar MBSP Datuk Azhar Arshad,” ujarnya.

Tambahnya, penganjuran konsert hiburan sebegitu, pertamanya tidak sesuai diadakan dalam persekitaran Kepala Batas dan keduanya diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI