SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengetuai tiga jawatankuasa bertindak dalam pengumuman portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kewangan, Tanah dan Sumber Alam serta mengetuai Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam.
Exco Kanan yang juga ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias diumumkan mengetuai dua portfolio iaitu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.
Dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pertama Bagi Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 itu, Aminuddin turut mengumumkan ADUN Bahau, Teo Kok Seong sebagai Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam manakal ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan.
Portfolio Wanita, Keluarga dan Masyarakat dipertanggungjawabkan kepada ADUN Pilah, Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim manakala ADUN Nilai, J. Arul Kumar mengetuai portfolio Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan.
Selain itu, ADUN Palong, Mustapha Nagoor dilantik sebagai Exco mengetuai portfolio Pembangunan Belia dan Sukan diikuti ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan manakala ADUN Repah, S. Veerapan sebagai Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan.
ADUN Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital manakala ADUN Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman mengetuai Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO.
Sementara itu, Menteri Besar memaklumkan, pelantikan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua DUN dan Timbalan Speaker akan pula akan diumumkan sebelum persidangan khas DUN Negeri Sembilan Khas yang dijadual pada 25 September nanti.
“Nama Speaker dan Timbalan Speaker belum disenaraikan namun nama tersebut akan diumumkan dalam tempoh tujuh hari sebelum persidangan serta setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir,” katanya.
Terdahulu pagi tadi, seramai 10 orang ADUN mengangkat sumpah sebagai Exco di hadapan Tuanku Muhriz pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan yang diadakan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. KOSMO! ONLINE