fbpx

Mahkamah: Rosmah guna wang masuk ke akaun bayar bil telefon, kad kredit – Pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan akan membuktikan terdapat sejumlah wang besar yang didepositkan ke dalam akaun semasa Datin Seri Rosmah Mansor yang tidak bekerja dan menggunakannya untuk membayar bil telefon dan kad kredit.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, Rosmah tidak mempunyai sumber bebas daripada sebarang pendapatan sah, namun boleh membuat pembayaran bil telefon dan kad kredit melalui cek yang ditandatanganinya.

“Pada setiap masa penting kepada pertuduhan di hadapan mahkamah, tertuduh tidak diambil bekerja secara bergaji.

“Jumlah yang didepositkan dalam akaun bank semasa berakhir di Affin Bank Berhad. Jumlah wang yang didepositkan tidak seimbang sepenuhnya dengan kemampuan tertuduh.

“Tertuduh menggunakan khidmat seseorang untuk membuat deposit bagi pihaknya dan sentiasa menjadi pengurus kediaman Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.

“Wang dalam deposit ini menjadi subjek pertuduhan pertama hingga ke-12 dalam kes ini,” kata Ahmad Akram ketika membaca pernyataan pembukaan perbicaraan kes pengubahan wang haram dan elak cukai yang dihadapi Rosmah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Tambah Ahmad Akram, wang berkenaan tidak pernah didedahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang dikehendaki oleh undang-undang bertulis. Tidak ada cukai pendapatan yang pernah dibayar ke atas wang tersebut.

Justeru, Ahmad Akram berkata, pihaknya akan membuktikan tertuduh ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat kenyataan palsu berhubung wang yang dibayarnya ke dalam akaunnya.

“Pihak pendakwaan akan sama-sama membuktikan deposit berkenaan boleh dipercayai secara munasabah sebagai harta yang merupakan hasil aktiviti menyalahi undang-undang.

“Seperti yang kami katakan, tertuduh tidak mengisytihar wang simpanannya kepada LHDN seperti yang dikehendaki undang-undang bertulis,” kata Ahmad Akram lagi.

Rosmah, 71, didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Perbuatan dilakukan di Affin Bank Berhad, Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta LHDN Kompleks Bangunan Kerajaan di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pertuduhan mengelak cukai dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI