fbpx

KPDN pantau rapi isu keselamatan bekalan makanan dari Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan pada sidang akhbar berhubung Ops Tiris yang dijalankan sepanjang 1 Mac hingga 23 Ogos 2023 di KPDN Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memantau rapi bekalan makanan import dari Jepun susulan isu pelepasan sisa air radioaktif terawat oleh negara berkenaan.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu itu termasuk nasihat terbaharu dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Beliau berkata, ketika ini, Malaysia banyak bergantung kepada sumber makanan dari luar negara termasuk Jepun.

“Kita akan teliti perkembangan terbaharu mengenai isu itu dan mengambil tindakan perlu bagi memastikan makanan yang diimport selamat.

“Apa-apa perkembangan kami akan maklumkan kepada pihak media,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Media semalam melaporkan, KKM akan mengenakan pemeriksaan Tahap 4 (Pengawasan) di pintu masuk negara terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari negara Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif.

Ia susulan pemakluman tindakan pelepasan sisa air radioaktif terawat bermula esok oleh pihak berkuasa Jepun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dilaporkan berkata, berdasarkan data KKM, dalam tempoh 2022 sehingga Jun lalu, produk makanan ikan dan hasilan ikan adalah antara produk tertinggi diimport dari Jepun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI