KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dipaksa bermandi peluh sebelum mengesahkan tempat ke pusingan ketiga pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark.
Pada pusingan kedua yang berlangsung di Royal Arena sebentar tadi, Ee Yi-Yew Sin terpaksa mengerah kudrat apabila diheret bermain sehingga ke set ketiga sebelum menang 21-16, 18-21, 21-12 ke atas beregu Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-Nga.
Turun sebagai pilihan ketujuh, mata pastinya tertumpu ke arah beregu negara itu, lebih-lebih lagi mereka pernah meraih pingat gangsa ketika beraksi pada Kejohanan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol.
“Apa yang penting untuk kami adalah tampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan selain mengharapkan keputusan positif. Sudah tentu kami gembira dengan aksi sendiri di atas gelanggang kerana kami percaya antara satu sama lain.
“Selain itu, kami percaya dengan yang kami mahu lakukan setiap kali masuk ke dalam gelanggang. Saya percaya aksi selepas ini akan lebih sukar, jadi kami perlu bersedia dan rehat secukupnya,” kata Yew Sin selepas tamat perlawanan.
Menjelang aksi pusingan ketiga nanti, beregu No.8 dunia itu akan menantikan pemenang antara beregu Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall menentang pasangan tuan rumah, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Pada edisi tahun lalu yang berlangsung di Tokyo, Jepun, Ee Yi-Yew Sin hanya menamatkan saingan di pusingan kedua apabila tewas 20-22, 20-22 kepada beregu Singapura, Terry Hee-Loh Kean Hean. – KOSMO! ONLINE