fbpx

Kejohanan Dunia: Aaron-Wooi Yik terus pikul misi pertahan gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark selepas menewaskan wakil Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin di pusingan ketiga sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan misi mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark selepas melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Pada pusingan ketiga yang berlangsung di Royal Arena sebentar tadi, juara dunia tahun lalu itu menyingkirkan beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin menerusi aksi straight set 21-16, 21-18 dalam tempoh 43 minit.

Walaupun bermula agak perlahan di set pertama, namun Aaron-Wooi Yik dapat mengembalikan rentak sebenar pada pertengahan perlawanan, sekali gus menjadi tonik untuk mereka menewaskan Lee Yang-Chi Lin.

“Memang kami cuba yang terbaik untuk elak beraksi tiga set. Pada set pertama itu kami terpaksa bangkit daripada ketinggalan, jadi agak gugup juga di set kedua, namun kami hanya fokus untuk menang straight set.

“Saya percaya aksi kami sudah semakin baik dari satu ke satu perlawanan. Sekarang fokus kami adalah untuk perlawanan esok dan masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki,” kata Aaron selepas tamat perlawanan.

Menjelang aksi suku akhir nanti, Aaron-Wooi Yik dijadualkan bertemu pilihan keenam dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi yang turut menewaskan satu lagi beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 24-22, 21-16.

Kemaraan gandingan No.4 dunia itu turut menyaksikan mereka menjadi satu-satunya beregu lelaki negara yang layak ke suku akhir selepas dua lagi wakil, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun terkandas.

Pada aksi sebentar tadi, Ee Yi-Yew Sin terpaksa akur tewas 15-21, 10-21 kepada beregu tuan rumah, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen manakala Wei Chong-Kai Wun kalah 16-21, 21-14, 17-21 kepada Liang Wei Keng-Wang Chang dari China. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI