PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi keyakinan untuk terus komited dalam memastikan setiap input yang dikemukakan pemegang taruh dikaji serta dijadikan panduan bagi merangka inisiatif Belanjawan 2024 menerusi sektor keselamatan.
Keyakinan itu dijelaskan KDN selepas menganjurkan Sesi Libat Urus Belanjawan 2024 Bersama Pemegang taruh hari ini yang memberi fokus mendukung wawasan Ekonomi MADANI dalam usaha mengangkat semula martabat negara dengan menstruktur semula ekonomi dan meningkat kualiti hidup rakyat.
KDN menerusi kenyataan berkata, sesi libat urus bersama pemegang taruh itu juga bertujuan mendapatkan input dan cadangan bagi membolehkan Belanjawan 2024 dilaksanakan secara menyeluruh.
“Belanjawan MADANI kedua ini akan berlandaskan keutamaan seperti dalam kerangka Ekonomi MADANI : Memperkasa Rakyat yang diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai 2023.
“Jadi, KDN komited dalam memastikan setiap input yang dikemukakan dikaji dan dijadikan panduan bagi merangka inisiatif-inisiatif Belanjawan 2024 dalam sektor keselamatan,” katanya tadi.
KDN berkata, perkara itu juga diharap dapat memberi pembaharuan demi menjayakan Ekonomi MADANI dalam era baharu Kerajaan Perpaduan.
“Input dan cadangan hasil daripada sesi libat urus itu diharap dapat memberikan sudut pandangan terkini harapan rakyat terhadap kerajaan selaras dengan Pembentangan Belanjawan 2024 yang dibentangkan Oktober 2023 nanti.
“Sekali lagi KDN ingin menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap ketenteraman awam dan kepentingan negara dari masa ke semasa secara berterusan,”’jelasnya.
Katanya, hal itu bersesuaian dengan aspirasi Malaysia Madani yang berilhamkan konsep kesediaan menerima perubahan dan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat melalui Reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur. – KOSMO! ONLINE