fbpx

Ibu muda derita penyakit auto imun, kulit melecur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Liza Suriani (kanan) bersama Muhammad Fatih dan Nur Aisyah di sisi Nor Aziantie yang terlantar akibat penyakit auto imun di Kuala Nerus baru-baru ini.

KUALA NERUS – Seorang ibu anak dua tidak menyangka kehidupannya berubah 360 darjah apabila disahkan menghidap penyakit auto imun atau pemphigus vulgaris sejak lima bulan lalu.

Nor Aziantie Azhar, 31, berkata, penyakit yang dihidapinya ketika sedang berpantang anak kedua tersebut menyebabkan kulit badannya melepuh, berku­ping keras dan berdarah.

“Pada mulanya, mulut saya mengalami ulser sebelum ia merebak ke bahagian kulit pada Mac lalu. Keadaan kulit semakin kronik dengan kesan melepuh, melecur serta terbakar sejak dua bulan lalu,” katanya di rumah keluarganya, di sini baru-baru ini.

Nor Aziantie berkata, dia mene­rima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini selama 76 hari bermula 6 Mei lalu.

Sepanjang tempoh itu, dia turut berada di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ selama 50 hari sebelum dibenarkan keluar wad pada 20 Julai lalu.

“Saya hanya mampu terlantar, menyebabkan ibu (Liza Suriani Ab. Rahman, 53,) tidak benarkan saya pulang ke rumah sendiri di Gombak. Sekarang ibu dan dua adik menjaga saya,” katanya.

Nor Aziantie berkata, anak sulungnya, Muhammad Fatih Andika, 6, adalah hasil perkongsian hidup bersama Allahyarham Muhammad Aizat iaitu artis alih sua­ra filem animasi popular, Kung Fu Panda yang meninggal dunia pada 4 Februari 2021.

Katanya, dia kemudiannya mendirikan rumah tangga semu­la dengan Mohd. Saifulhisyam Safri, 34, sebelum dikurniakan bayi perempuan, Nur Aisyah Sofiyyah, 6 bulan.

Nor Aziantie kini memerlukan susu khas, vitamin, lampin, tisu basah dan peralatan mencuci luka yang menelan perbelanjaan tinggi.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Nor Aziantie 512400515982 (Maybank) atau menghubungi ibunya, Liza Suriani di talian 017-9162993.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI