PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan kawasan utara Semenanjung sehingga 12 tengah hari ini.
Menurut hantaran di laman sesawang MetMalaysia, cuaca buruk itu dijangka melanda seluruh negeri Pulau Pinang.
“Bagi Kedah, ia membabitkan Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu, Kedah sementara di Perak, melibatkan Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Manjung,” katanya, hari ini.
Tambah MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.