fbpx

Guru bangga anak murid jadi Ketua Menteri Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB. RAUF (kanan) berbual dengan Patimah (dua dari kiri) ketika melawat bekas gurunya itu di Batu Berendam, Melaka.

MELAKA – Seorang guru tidak menyangka apabila salah seorang anak murid yang didiknya hampir 50 tahun lalu kini bergelar Ketua Menteri Melaka.

Pesara guru, Patimah Abu Hasan, 80, berkata, walaupun terputus hubungan begitu lama, namun Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh masih mengingatinya sebagai guru yang pernah mengajarnya subjek Bahasa Melayu.

“Saya terperanjat apabila mendapat tahu Ketua Menteri mahu datang ke rumah, rupa-rupanya dia masih ingat saya sebagai gurunya yang mengajar di Sekolah Menengah Ghafar Baba (SMGB) sekitar tahun 1970-an dahulu.

“Saya rasa bangga, megah apabila dapat tahu hasil didikan di SMGB berjaya melahirkan seorang Ketua Menteri yang membawa nama Melaka. Setakat ini dua orang bekas pelajar SMGB berjaya menjadi Ketua Menteri iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Ab. Rauf,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Kasih di rumahnya di sini, semalam.

Tambahnya, dia bagaimanapun tidak mengingati keperibadian Ab. Rauf kerana bilangan pelajar yang ramai dan silih berganti, namun gembira kerana dirinya masih diingati.

Sementara itu, Ab. Rauf berkata, guru merupakan antara insan istimewa dan penting dalam hidupnya.

Menurutnya, kunjungan ke rumah gurunya itu bertujuan untuk bertanya khabar, melepaskan rindu dan membalas jasa individu yang membentuknya menjadi seorang pemimpin.

“Alhamdulillah, terima kasih Cikgu Patimah yang banyak mendidik saya dan rakan sekelas sehingga ramai yang melakar kejayaan hari ini. Banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan hasil tunjuk ajar Cikgu Patimah.

“Antara kenangan sepanjang bersama Cikgu Patimah adalah didenda berdiri atas kerusi dan berlari keliling padang, bagi saya apa yang dilakukan Cikgu Patimah adalah untuk mendidik anak murid agar menjadi manusia yang berguna,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI