PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak ditemui dalam keadaan lemah selepas didakwa ditinggalkan penjaganya selama hampir 40 minit di dalam sebuah kenderaan berkunci.
Menurut sebuah video tular di laman Twitter, kanak-kanak tersebut ditemui oleh orang ramai yang lalu-lalang dalam keadaan lemah dan berpeluh-peluh.
Malah, menurut video sama, kenderaan tersebut juga diparkir di tengah panas.
“Tinggalkan anak dalam kereta tengah panas macam ni? Sudahlah tutup enjin, kereta berkunci, tingkap pula buka sedikit sahaja. Muka pun dah pucat.
“Hampir 40 minit saya tunggu di situ tetapi tidak ada sesiapa pun yang datang. Akhirnya, saya minta tolong orang ramai untuk pecahkan cermin dan bawa dia ke klinik,” katanya.
Menurut pengguna tersebut, kanak-kanak tersebut kini dalam keadaan selamat dan sudah mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Bagaimanapun, keberadaan penjaganya tidak dapat dipastikan.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai meluahkan rasa marah dan kecewa atas tindakan tidak bertanggungjawab penjaga kepada kanak-kanak tersebut.
“Boleh buat laporan polis ni. Ini dah dikira pengabaian terhadap kanak-kanak,” kata Riesna.
“Budak tu selamat tak? Saya harap awak buat laporan polis. Kasihannya, tak sanggup nak tengok keadaan dia,” kata seorang pengguna.
“Saya duduk dalam kereta lima minit pun dah sesak nafas apatah lagi 40 minit,” kata seorang lagi pengguna.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 2,778 tanda suka dan 622,000 tontonan. – KOSMO! ONLINE