fbpx

K2

Berwuduk dengan penyembur air di pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERWUDUK menggunakan penyembur air hukumnya adalah harus.

Sahkah wuduk saya jika saya menggunakan penyembur air untuk berwuduk sebelum menunaikan solat fardu di pejabat?
Saya berwuduk menggunakan penyembur air mengikut tatacara yang diajar oleh para ustaz untuk para jemaah Malaysia yang mengerjakan haji/umrah di Tanah Suci.

JAWAPAN
Dari segi bahasa, wuduk ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Manakala dari segi syarak pula, wuduk bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, seterusnya membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu (Rujuk al-Budur al-Tali`ah Syarh Risalah al-Jami`ah, hlm. 123).

Merujuk kepada soalan yang diajukan, berwuduk menggunakan spray hukumnya adalah harus dalam semua keadaan dengan mematuhi syarat-syaratnya. Namun begitu adalah perlu diberi perhatian sebelum berwuduk dengan cara ini, iaitu pelaksanaan penyucian anggota wuduk yang terbahagi kepada dua cara:

Membasuh (al-ghuslu) iaitu dengan mengalirkan air kepada anggota wuduk.

Mengusap atau menyapu (al- Mashu) iaitu tanpa perlu mengalirkan air kepada bahagian yang terlibat.

Allah SWT telah terangkan dalam al-Qur’an;“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak melaksanakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai ke siku, dan usaplah kepalamu dan (basuh) kedua kakimu sampai ke kedua mata kaki. Jika kamu junub, maka mandilah. Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (tandas) atau menyentuh perempuan, maka jika kamu tidak memperolehi air, maka bertayamumlah dengan debu yang baik (suci); usaplah mukamu dan tanganmu dengan (debu) itu. Allah tidak ingin menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, agar kamu bersyukur.” (Surah al-Ma’idah : 6)

Melalui ayat ini dapat difahami bahawa anggota wuduk yang wajib dibasuh adalah: muka, tangan sampai siku dan kaki sampai ke mata kaki. Manakala bahagian yang hanya perlu diusap atau disapu ialah kepala. Ternyata terdapat perbezaan antara perkataan al-ghoslu dan al-mashu. Hal ini dijelaskan di dalam kitab Al-Tashil fi ‘Ulumit Tanzil sebagaimana berikut;

“Perbezaan antara al-ghoslu dan al-mashu; al-mashu adalah melalukan sapuan (pada anggota wuduk) dengan tangan yang dibasahi air. Adapun al-ghoslu, mengalirkan air dengan bantuan tangan, ini menurut Imam Malik. Adapun menurut Imam Syafi’i, al-ghoslu cukup dengan mengalirkan air (tanpa perlu dengan bantuan tangan, pent).” (Al-Tashil fi ‘Ulumit Tanzil, 1/228-229)

Kaedah membasuh anggota wuduk juga dapat difahami menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Laqit Bin Sabirah. Sabda Nabi SAW:
Selati jari-jari engkau dan sempurnakanlah wuduk…”(Riwayat al-Baihaqi, 8515)

Membasuh di sini adalah mengalirkan air dan dikenakan aliran tersebut kepada anggota wuduk. Kata Imam al-Ramli: “Maksud membasuh ialah mengalirkan air ke atas sesuatu” (Rujuk Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, 1/209)

Selagi mana had muka, tangan dan kaki tidak dialirkan air padanya atau tidak terkena air, maka basuhan itu dianggap tidak sah dan perlu diulang. Air perlu diratakan pada seluruh had muka, tangan dan kaki supaya kesemua bahagian anggota wuduk tersebut terkena air pada basuhan pertama. Oleh itu apabila menggunakan spray untuk berwuduk maka hendaklah dipastikan air yang direnjiskan ke bahagian anggota wuduk yang wajib dibasuh dalam keadaan mengalir dan menitis. Kemudian diratakan air tersebut sambil menggosok dengan tangan ke seluruh bahagian anggota yang wajib dibasuh dengan sempurna. Anggota wuduk yang wajib dibasuh tidak memadai hanya direnjis dengan semburan nipis, sekadar membasahi kawasan kulit yang tidak mengalir airnya. Perbuatan tersebut tidak dinamakan al-ghuslu (membasuh).

Adapun basuhan kedua dan ketiga adalah sunat dengan syarat perlu disempurnakan basuhan wajib iaitu basuhan yang pertama. Secara mudahnya, basuhan kedua yang sempurna telah mengambil tempat basuhan yang pertama. Ini kerana basuhan yang pertama tidak diiktibar.

Kata Imam al-Ramli:“Syarat sebelum membasuh untuk kali kedua dan ketiga adalah perlu menyempurnakan basuhan wajib (yang pertama)” (Rujuk Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, 1/188)

Kesimpulannya, berwuduk dengan menggunakan spray adalah harus dalam semua keadaan dan tidak terbatas ketika bermusafir sahaja. Namun begitu hendaklah dipastikan air yang digunakan sewaktu semburan mencukupi dengan aturan kaedah membasuh dan menyapu pada anggota-anggota wuduk sebagaimana yang telah dijelaskan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI