KUALA LUMPUR – Kawasan Blok A Bangunan Sri Desa Entrepreneur Park di Jalan Kuchai Lama, di sini masih lagi ditutup susulan kejadian runtuhan struktur konkrit yang berlaku minggu lalu.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati kawasan sekitar blok tersebut masih ditutup dan dikawal ketat oleh pihak berkuasa.
Serpihan struktur konkrit yang runtuh juga masih belum dibersihkan sepenuhnya, selain beberapa buah kereta yang ditimpa runtuhan itu juga belum dialihkan dari tempat kejadian.
Seorang pekerja di salah sebuah restoran di situ yang mahu dikenali sebagai Nur, berkata, premis di kawasan itu masih lagi ditutup termasuk restoran milik majikannya.
Katanya, dia kini bekerja di sebuah lagi premis lain yang dimiliki oleh majikan yang sama sementara restoran berkenaan ditutup.
“Saya tiada di lokasi semasa kejadian itu berlaku kerana terjadi pada waktu malam.
“Buat masa ini restoran memang tidak dapat dibuka, selepas kejadian pemilik kedai dapat mengambil barangan penting sahaja,” katanya ketika ditemui di sini.
Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 10 kenderaan rosak teruk apabila struktur rosak pada bumbung bangunan komersial lima tingkat itu runtuh.
Kejadian berlaku di Bangunan Sri Desa Kuchai di Kuchai Entreprenuers Park, di sini pada 16 Ogos lalu. -KOSMO! ONLINE