fbpx

6 tahun tunggu lot banglo, Aishah hantar writ sita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aishah hadir ke kediaman individu yang menaja hadiah berupa lot tanah banglo kepadanya bagi tujuan penyitaan selepas bertahun-tahun menunggu janji.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Aishah hadir ke kediaman individu yang menaja hadiah berupa lot tanah banglo kepadanya bagi tujuan penyitaan selepas bertahun-tahun menunggu janji.

Katanya, tindakan berasaskan undang-undang itu diambil selepas individu terbabit gagal menyelesaikan pembayaran selepas writ penyitaan sudah dihantar.

“Hari ini, saya berada di hadapan rumah Datuk Seri Mohd Amir Mohd. Esa, yang sebenarnya, dua minggu lalu, kami dah hantar writ saman penyitaan.

“Disebabkan tiada penyelesaian, kami datang untuk melelong barang-barang ini. Tapi, sekarang ini, tak ada orang pula (di rumah), padahal, dia dah tahu, kan? Jadi, baiklah.

“Ini bukanlah perkara menyeronokkan, susahlah orang lari-lari dan main-mainkan kita, kan? Saya takkan biarkan benda ini terlepas, lebih baik kamu datang selesaikan. Kalau kena muflis, kami akan mufliskan kamu,” katanya dalam perkongsian video Instagram.

Dalam hantaran sama, penyanyi lagu Janji Manismu itu turut mendedahkan individu sama sebelum ini telah beberapa kali mengusulkan pembayaran berjadual, namun individu terbabit sendiri mengingkari terma tersebut.

“Kita tahu dia dan dua lagi rakan kongsi yang juga isteri dan anaknya menaja tanah lot banglo itu. Tahun pertama kami jumpa dia minta tangguhkan pembayaran dan berikan masa untuk dia lunaskan hadiah itu. Jadi, kami berikan masa.

“Tapi selepas beberapa tahun, kami bertanya lagi dan dia abaikan pertanyaan kami. Akhirnya, saya seorang sahaja yang teruskan membawa (kes) ke mahkamah, sampailah tahun kelima, barulah dapat melalui proses perbicaraan tahun lalu.

“Dipendekkan cerita, kami dapat persetujuan di hadapan mahkamah untuk pembayaran yang sudah dipersetujui kedua-dua belah pihak tetapi sekiranya dia tak ikut arahan pembayaran, semuanya akan kembali kepada amaun asal yang dituntut iaitu RM300,000,” luahnya.

Hilangkan diri

Menurut penggiat seni berusia 58 itu, hanya pembayaran pertama dan kedua dilunaskan apabila individu terbabit mengambil sikap menyepikan diri semula.

“Apa yang berlaku, pembayaran pertama dan kedua, okay. Manakala, pembayaran ketiga, dia mula culas. Dia beritahu, ada bayaran yang belum masuk lagi dan mungkin lambat sedikit untuk dia lunaskan bayaran ketiga.

“Kami tunggu sehingga tarikh dijanjikan, tetapi terus senyap. Kami tunggu lagi beberapa bulan dan barulah dia menerusi peguamnya, membuat usul kedua untuk pelan pembayaran.

“Kononnya akan bayar amaun tertentu dan minta diberi masa setahun atau lebih untuk diselesaikan,” katanya lagi dalam pendedahan beberapa siri video.

Pada masa sama, Aishah menegaskan terpaksa meneruskan tindakan sita selepas pihak berkenaan seolah-olah mahu mengelak daripada menyegerakan pembayaran.

“Dia bayar amaun pertama pada bulan pertama, kemudian senyap semula. Jadi, akhirnya tak berusaha selesaikan perkara ini (dan) kerana dia culas, semuanya akan kembali kepada amaun asal.

“Apa yang berlaku, kami minta kepada mahkamah untuk menyita dan menghantar writ penyitaan harta benda di dua rumahnya. Kami pergi pada 8 Ogos lalu, dan dia dah tahu. Jadi, kalau dia nak selesaikan, dia dah selesaikan.

“Dia bagi satu lagi pelan pembayaran yang hanya untuk dia mengelak daripada penyitaan. Apa jaminannya, kalau dia dah buat dua kali pelan pembayaran, tapi dia yang ingkar?” katanya.

Muflis

Ujarnya lagi, perkara yang berlaku membazirkan masanya dan pihak mahkamah memandangkan individu dimaksudkan rupa-rupanya, sudah diisytihar muflis.

“Kami tak dapat menyaman Datuk Seri Amir sebab tiga hari di mahkamah baru kami dapat tahu dia seorang yang muflis. Dia membazirkan masa saya. Saya beritahu dia, saya takkan biarkan benda ini terlepas, jadi dua rakan kongsinya dan dia sila selesaikan.

“Seterusnya, untuk kami dapatkan perintah mahkamah bagi memecah masuk ke rumahnya dan saya tak mahu sampai ke tahap itu,” katanya menjelaskan keadaan.

Mengulas tanggapan ramai terhadap tindakannya, Aishah berharap orang ramai tidak terpedaya dengan ‘permainan’ lelaki itu yang bijak memanipulasi situasi bagi menampakkanya sebagai mangsa.

“Kepada yang menganggap saya kejam sangat sampai menyita ketika dia sakit, sebelum buat tanggapan saya minta anda jangan termakan dengan drama ‘play victim’.

“Anda kena faham, kes ini bermula dari penghujung 2017. Pada ketika itu dia tak sakit sampailah hari ini, sakitnya baru dalam dua atau tiga bulan lalu. Jadi, tak perlu kecam saya tak berhati perut. Anda kena faham dah hampir enam tahun,” katanya.

Harapan

Berharap rakan seperjuangan lain tidak dipermainkan sepertinya, Aishah menitipkan nasihat setiap artis ambil tahu hak mereka selain menggunakan saluran undang-undang jika perlu.

“Kalau orang cakap saya terlalu ‘hadap’ sampai nak menyita, sebenarnya ini berkaitan prinsip. Kepada kawan-kawan, semua kena tahu bagaimana kita boleh gunakan undang-undang negara untuk dapatkan hak kita.

“Jangan kita biarkan orang memperkotak-katikkan kita, janjikan itu dan ini, kemudian habuk pun tak ada. Lari-lari dan buat kita seperti orang bodoh. Biar kes ini menjadi contoh dan saya akan berjuang sehingga ke penghujung. Insya-Allah,” ulasnya.

Terdahulu, Pada pertandingan Gegar Vaganza musim keempat GV4), Aishah dinobatkan sebagai juara manakala tempat kedua dan ketiga menjadi milik Liza Hanim serta Lan Solo.

Kemenangan itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 selain sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 berserta piala.

Bagaimanapun timbul isu berkaitan tanah apabila penaja tidak memenuhi apa yang dijanjikan, sebaliknya mahu memberi sebidang tanah yang saiznya lebih kecil berbanding lot banglo itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI