PETALING JAYA – Pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang meraikan ulang tahun mereka yang ke-17 di Zoo Negara, Hulu Kelang, hari ini.
Zoo Negara menerusi laman Facebooknya telah memuat naik beberapa gambar pasangan panda berkenaan menyambut kelahiran mereka sambil disaksikan para penonton yang hadir.
Sambutan ulang tahun mereka dilihat cukup meriah dan mereka juga turut dihidangkan kek hari jadi yang diperbuat daripada buah-buahan seperti epal, tembikai dan anggur yang dihiasi dengan beberapa kuntum bunga.
“Kepada pasangan panda kami yang paling gebu, kami mengucapkan selamat ulang tahun ke-17. Kekal sihat, ceria dan comel selalu.
“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada CCCKL selaku penganjur majlis pada hari ini dan tidak lupa tetamu kehormat kami dan anda semua yang hadir!
“Terima kasih kerana menjadikan sambutan hari lahir Xing Xing dan Liang Liang sebagai sambutan yang tidak dapat dilupakan,”tulisnya.
Sehubungan itu, orang ramai turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat ulang tahun mereka di ruangan komen Zoo Negara.
“Selamat hari lahir Xing Xing (Fu Wa)dan Liang Liang (Feng Yi),” ujar Eileen Lai.
Terdahulu Kosmo! melaporkan pasangan panda gergasi itu dipinjamkan selama tempoh 10 tahun 2014 bersempena dengan ulang tahun ke-40 hubungan dua hala antara Malaysia dengan China dan tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014.
Kedua-dua pasangan gergasi itu dilahirkan pada 23 Ogos 2006 di Pusat Panda Wolong, Sichuan, China.
Setakat ini, Xing Xing dan Liang Liang telah memiliki tiga ekor anak iaitu Nuan Nuan yang dilahirkan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Jan 2018) dan Sheng Yi (30 Mei 2021). -KOSMO! ONLINE.