BANGKOK, Thailand – Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) memaklumkan bahawa angka jangkitan influenza di Thailand sudah melebihi 970,000 kes tahun ini, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Jangkitan influenza melonjak lebih tiga kali ganda di Thailand sekali gus menandakan musim selesema yang sangat menular.
Satu kematian dilaporkan dalam kalangan individu yang dijangkiti. Pesakit lelaki berusia 39 tahun itu mengalami komplikasi berpunca daripada ketagihan alkohol dan penyakit hati kronik.
Timbalan Ketua Pengarah DDC, Dr. Sopon Iamsirithaworn berkata, vaksinasi adalah penting bagi mereka yang dikelaskan dalam kumpulan berisiko tinggi termasuk individu berusia 65 tahun dan ke atas serta mereka yang mengalami penyakit kronik.
Orang ramai digesa menjalani kuarantin kendiri dan memakai pelitup muka sekiranya mereka mengalami gejala influenza.
Varian H1N1 yang telah menjejaskan penduduk Thailand selama lebih 14 tahun didapati terus mendominasi bilangan kes influenza di negara itu.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, antara simptom influenza termasuk demam, batuk, sakit kepala, sakit otot serta sendiri, sakit kerongkong dan hidung berair. – AGENSI