KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta yang tular melakukan brek mengejut sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal jatuh pada Ahad lalu, dihukum penjara dua hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Ching Hong, 26, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya dalam bahasa Mandarin.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini dan lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun.
Selain itu, sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara tiga bulan.
Mengikut pertuduhan, Ching Hong didakwa sebagai pemandu kereta jenis Lexus dengan telah memandu kenderaan tersebut dengan cara membahayakan pengguna jalan raya lain di Jalan Syed Putra di sini pukul 9.19 pagi pada 20 Ogos lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda yang boleh sampai RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan diendors pada lesen memandu.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd. Nor Hafiz Mohd. Wazir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda maksimum mengambil kira faktor tertuduh yang memandu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berbentuk denda ringan atas alasan perlu menanggung keluarga selain menyesal dan tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.
Semalam, Kosmo! melaporkan polis menyiasat tindakan pemandu kereta yang berhenti mengejut sehingga menyebabkan sebuah motosikal merempuhnya di Jalan Syed Putra, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kejadian membabitkan dua kenderaan itu berlaku pukul 9.19 pagi.
Sebelum ini , tular satu video papan pemuka di media sosial yang memaparkan sebuah kereta memberhentikan kenderaannya secara mengejut di hadapan penunggang motosikal.
Turut dipaparkan, penunggang motosikal bertindak mengangkat tangan menunjuk ke arah kereta tersebut sebelum kemalangan berlaku.- KOSMO! ONLINE
@smfsnh33 @PDRMsiaOfficial tolong ambil tindakan pada orang yang pandu kereta no. plat BQA 1188. #tolongviralkan #pembulijalan #fyp #20082023 #carisampaidapat #beritaviral #terkini #viral #tiktokviral #pdrmmalaysia #federalhighway ♬ original sound – smfsnh