fbpx

The Swatch Group (Malaysia) dibenar cabar rampasan jam tangan ‘pelangi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jam tangan 'pelangi' Koleksi Pride (kiri), peguam Nizam Bashir mewakili The Swatch Group (Malaysia) Sdn. Bhd. (kanan).

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan sebuah syarikat pengimport dan penjual jam tangan The Swatch Group (Malaysia) Sdn. Bhd. untuk mencabar tindakan pihak berkuasa yang merampas 172 jam tangan ‘pelangi’ Koleksi Pride.

Jam tangan itu dikaitkan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan The Swatch Group (Malaysia) Sdn. Bhd. selaku pemohon.

Permohonan yang dikemukakan pemohon tidak dibantah oleh Kerajaan Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Nizam Bashir yang mewakili syarikat tersebut, manakala pihak kerajaan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Farah Shuhada Ramli.

Pada 24 Jun lalu, Swatch Malaysia memfailkan permohonan semakan kehakiman atas alasan rampasan 172 jam tangan itu tidak sah kerana barangan itu bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang dalam Akta Mesin Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Pemohon menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

Berdasarkan permohonan itu, syarikat berkenaan menyatakan, istilah penerbitan merujuk kepada dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak berdasarkan akta itu.

Pemohon juga mendakwa tindakan responden dilakukan atas motif politik yang tidak wajar selain mendakwa jam tangan yang disita tidak mempromosikan apa-apa gejala seksual, namun hanyalah ekspresi menyeronokkan mengenai keamanan dan cinta.

Katanya, jam tangan dari reka bentuk 2023 adalah satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam berkenaan.

Sehubungan itu, The Swatch Group (Malaysia) memohon satu perintah certiorari dan mandamus untuk membatalkan notis penyitaan dan mengembalikan jam tangan berkenaan serta ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.

Semalam Kosmo! melaporkan KDN menegaskan rampasan jam ‘pelangi’ jenama Swatch yang dikaitkan LGBT pada Mei lalu dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN mempunyai punca kuasa yang jelas berhubung rampasan itu malah, ia dilakukan mengikut akta yang berkaitan.

Terdahulu pada 13 dan 14 Mei lalu, KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas 172 jam jam tangan Koleksi Pride mengandungi sembilan reka bentuk bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT.

Serbuan selama dua hari diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Lima lagi butik diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI