SHAH ALAM – Kegiatan sebuah tapak kuari dekat sini dipercayai menjadi punca pencemaran sisa minyak di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dekat sini, semalam.
Pencemaran tersebut dikesan kira-kira pukul 10.45 pagi dengan pemerhatian mendapati terdapat sisa minyak memasuki Sungai Langat melalui saluran pembentungan pada jarak 123 meter (m) daripada muka sauk LRA berkenaan.
Pencemaran tersebut telah menyebabkan henti tugas sementara, namun tiada gangguan bekalan air dilaporkan.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, siasatan segera dilakukan bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terhadap lapan buah premis berhampiran yang disyaki berpotensi menjadi punca pencemaran tersebut.
Katanya, hasil siasatan akhirnya mengenal pasti punca aliran minyak tersebut daripada sebuah tapak kuari yang tertakluk kepada Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
“Aliran minyak tersebut mengalir masuk melalui culvert bawah tanah ke saliran bersebelahan premis kilang kayu dan akhirnya ke Sungai Langat.
“Semakan LUAS di premis aktiviti kuari tersebut juga menemukan aliran kesan dan bau minyak yang kuat. Anggaran jarak daripada lokasi penemuan punca aliran berminyak tersebut ke muka sauk LRA adalah sekitar 366m,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata LUAS, persampelan di beberapa lokasi berkaitan telah ambil sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa bagi tindakan penguatkuasaan selanjutnya.
Tambah agensi itu, dua buah beg activated carbon (AC) dan masing-masing seunit oil boom dan oil pad telah diletakkan bagi tujuan menyekat aliran minyak tersebut selain nyah bau sebelum aliran tersebut masuk ke Sungai Langat.
Oil boom turut dilaksanakan di muka sauk LRA Cheras Batu 11 bagi tujuan pencegahan dan kawalan.
“Pemantauan statik setiap 30 minit dilakukan antara Sungai Langat ke muka sauk LRA tersebut dengan pensampelan ujian bau menunjukkan bacaan sifar ton dan keadaan air sungai kembali normal.
“Siasatan dan tindakan kawalan segera di tapak ini telah membolehkan LRA Cheras Batu 11 beroperasi semula kurang daripada empat jam selepas dihenti tugas sementara bermula pukul 10.45 pagi hingga 2.30 petang semalam. Namun tiada gangguan bekalan air dilaporkan,” katanya.
Mengulas lanjut, LUAS menegaskan premis tersebut telah diarahkan melaksanakan pembersihan dengan segera selain kontraktror yang dilantik melakukan kerja-kerja penyedutan sisa minyak dengan segera bagi memastikan tiada lagi baki aliran tercemar masuk ke dalam sungai.
“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Seksyen 79, Enakmen LUAS (Pindaan) 2020,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE