KUALA LUMPUR – Skuad ragbi 7 sepasukan negara (7s) dilihat perlu ‘gear’ lima untuk meningkatkan kemampuan mereka pada tahap tertinggi sebelum memulakan misi serampang dua mata ke Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan.
Menerusi undian yang dilakukan malam semalam, skuad Bunga Raya 7s diundi dalam Kumpulan B bersama pemenang pingat gangsa Sukan Asia Jakarta 2018, Korea Selatan dan juga Taiwan.
Ketua jurulatih negara, Nik Safuan Ismade Nik Man melihat undian tersebut sebagai tanda positif bagi skuad negara, namun akui menuntut anak didiknya waspada ketika berdepan ancaman Korea Selatan di peringkat kumpulan.
Katanya, atas kertas Malaysia tidak berdepan masalah untuk menewaskan Taiwan kerana pada edisi 2018 di Jakarta, Indonesia, skuad negara berjaya menewaskan Taiwan 17-10, namun di pentas suku akhir, skuad negara tumpas ditangan Korea dengan keputusan 5-40.
“Melihat kepada undian tersebut saya benar-benar yakin dengan kemampuan pemain negara ketika ini sekurang-kurangnya barisan yang sedia ada ini mampu mengatasi Taiwan.
“Tetapi bila bersama Korea, kita perlu bekerja lebih keras kerana pada perlawanan sebelum ini skuad negara tewas. Jadi, kita perlu tingkatkan usaha untuk menggilap lagi ketahanan pemain negara sebelum ke Hangzhou,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Bagi meningkatkan semangat pemain negara dalam baki masa yang ada ini, Nik Safuan membawa sebahagian pemain negara untuk menyertai kejohanan 7s Asian Series yang berlangsung pada 26 hingga 27 Ogos ini di Incheon, Korea Selatan.
“Kejohanan ini adalah persiapan terakhir skuad negara sebelum saya memutuskan senarai 12 pemain negara yang akan membawa cabaran ke Hangzhou nanti.
“Pada kejohanan Asian Series ini kita mahu kekalkan ranking dalam carta 8 terbaik Asia tahun depan. Jadi, kalau boleh di Korea nanti kita mahukan pemain-pemain negara dapat pendedahan mencukupi sebelum menggalas tugas lebih berat sewaktu di Hangzhou nanti,” ujarnya yang akan berlepas ke Korea malam ini. -KOSMO! ONLINE