fbpx

Perak tangguh kebenaran sesi mengajar, bersyarah di masjid dan surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Semua sesi mengajar dan bersyarah oleh penceramah dari luar dan dalam negeri Perak di semua masjid dan surau berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ditangguhkan berkuat kuasa hari ini.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, penangguhan itu susulan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak sedang membuat penambahbaikan bagi Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar di masjid dan surau.

Katanya, ia sebagai usaha penyusunan semula konsep serta kaedah dakwah dan pengajaran agama Islam selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah.

“Beberapa ketetapan telah diputuskan sehingga garis panduan tersebut muktamad dikuatkuasakan iaitu dengan menangguhkan jemputan mana-mana penceramah dari luar negara dan luar negeri Perak sama ada bertauliah atau tanpa tauliah.

“Jawatankuasa kariah juga dikehendaki menangguhkan jemputan penceramah dari dalam negeri Perak yang tiada tauliah mengajar di dalam masjid, surau diri Jumaat dan surau,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut beliau, ketetapan itu bagaimanapun dikecualikan ke atas individu sebagaimana di Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.

“Semua pihak diminta agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Peraturan 23 (1) antara lain menyebut, peraturan-peraturan tersebut tidak terpakai bagi anggota Majlis; mufti mana-mana negeri di Malaysia; pegawai agama; guru agama yang dilantik kerajaan dan mana-mana orang yang pada pendapat Majlis mempunyai kelayakan dan pengalaman yang bersesuaian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI