JOHOR BAHRU – Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi Parlimen Pulai khususnya yang menetap di kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, di sini mahu wakil rakyat yang cakna serta mampu menyelesaikan pelbagai masalah keperluan asas yang dihadapi mereka.
Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai masalah membelenggu mereka seperti longgokan sampah, longkang tersumbat, kekurangan parkir serta ketiadaan lampu.
Ketua Penduduk Blok G Seri Bakawali PPR berkenaan, Mohd. Fardi Saidin, 38, berkata, antara aduan paling banyak diterima pihaknya ketika ini adalah masalah longgokan sampah yang kerap berlaku.
Katanya, kejadian itu menyebabkan situasi kurang senang antaranya bau busuk dan pertambahan bilangan haiwan perosak seperti tikus dan lalat.
“Antara punca berlaku longgokan sampah kerana ia tidak dikutip selama beberapa hari, disebabkan kesukaran lori sampah pihak berkuasa memasuki kawasan disebabkan laluan sempit dan kenderaan menghalang.
“Bilangan penduduk di sini pula ramai, jadi walaupun tempoh sehari atau dua hari, tiga tong sampah untuk satu blok yang disediakan cepat sahaja sudah penuh. Kita risau kerana sampah bertimbun itu boleh menjadi punca pelbagai penyakit, khususnya buat kanak-kanak dan orang tua,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sehubungan itu, dia yang telah menetap di PPR berkenaan sejak 2019 berharap wakil rakyat baharu akan dapat menyelesaikan masalah tersebut, sama ada dengan membesarkan laluan untuk lori sampah atau menambah kekerapan perjalanannya.
Seorang lagi penduduk, Nurazilah Rosli, 30, memberitahu, dia berharap pihak berwajib dapat menambah bilangan lampu di kawasan sekitar kediaman bagi memudahkan urusan penduduk.
“Kawasan ini bila malam, memang gelap kerana lampu blok atau lampu jalan memang kurang. Sebelum ini ada masalah lampu disebabkan kerosakan teknikal, namun ia tidak dibaiki selama hampir dua bulan.
“Itupun selepas salah seorang penduduk memuat naik perkara tersebut dalam media sosial, baharu tindakan membaiki kerosakan dibuat. Selain itu, suasana persekitaran yang tidak terang juga boleh mengancam keselamatan terutama golongan wanita, orang tua dan kanak-kanak,” jelasnya.
Dia yang juga penghidap sakit buah pinggang sejak enam tahun lalu berharap tindakan sewajarnya dapat diambil pihak berwajib, termasuklah wakil rakyat baharu Parlimen itu yang bakal dipilih tidak lama lagi.
“Kesian sebenarnya, murid-murid sekolah yang terpaksa menunggu van dalam gelap, kerana pada pukul 6.30 pagi suasana sekitar masih gelap, bahaya buat mereka,” jelasnya.
PPR Kempas Permai menempatkan tujuh blok kediaman pangsapuri setinggi 17 tingkat dengan sejumlah 2,252 unit.
Dianggarkan terdapat seramai 8,788 penduduk di kawasan PPR berkenaan.