HULU SELANGOR – Seorang pelajar berusia 17 tahun meninggal dunia selepas digilis sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 37 Jalan Kuala Lumpur – Ipoh, Serendah, di sini, hari ini.
Difahamkan, mangsa yang dalam keadaan berpakai sukan dalam perjalanan dari sekolahnya ke stesen minyak terdekat untuk mengisi minyak kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 1.45 petang tadi.
Katanya, kemalangan tersebut membabitkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 17 tahun dan sebuah treler dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu treler dalam perjalanan dari Batang Kali ke Kuala Lumpur.
“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal dari simpang di sebelah kiri telah terlanggar bahagian tengah lori sebelum terjatuh ke jalan.
“Selepas terjatuh, mangsa digilis pada tayar belakang jentera tersebut sebelum disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala,” katanya dalam kenyataam hari ini.
Menurut Faizal, bedah siasat mangsa akan dilakukan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang melihat kejadian diminta menyalurkan maklumat dengan tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.