PETALING JAYA – Seekor kucing yang ditemui di lokasi nahas melibatkan sebuah pesawat Beechcraft Model 390 di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu, dikunjungi pasukan penyelamatnya, hari ini.
Menerusi perkongsian di laman Instagram doktor veterinar, Dr. Zulerwan, pasukan ambulan Kementerian Kesihatan (KKM) itu datang ke Zul Erwan Veterinary Clinic untuk melawat kucing tersebut yang diberi nama Oyen Elmina.
“Sebentar tadi klinik ada menerima lawatan daripada wakil team ambulan KKM yang menyelamatkan Oyen tempoh hari.
“Mereka adalah Mohd Azwa Mohd Zain, Arlyia dan yang tiada dalam gambar ialah Richie Bobby Bujang serta Tommy Leo Rahsak.
“Mereka adalah hero sebenar kepada Oyen Elmina,” kongsinya.
Sebelumnya Kosmo! melaporkan, Oyen Elmina berada keadaan stabil dan semakin pulih daripada kecederaan.
Zulerwan yang merawat kucing tersebut memaklumkan proses memulihkan kecederaan haiwan itu masih lagi dijalankan.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa tiada sebarang kutipan derma dilaksanakan bagi tujuan rawatan. – KOSMO! ONLINE