KUALA LUMPUR – Jangan disebabkan perbezaan dari segi politik dan ideologi, negara tidak dapat menyambut Hari Kemerdekaan dalam keadaan harmoni dan bersatu padu.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching berkata, Hari Kebangsaan merupakan waktu yang terbaik untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, ia juga merupakan masa terbaik mengetepikan segala perbezaan yang ada terutamanya dari segi politik dan ideologi.
Mengulas mengenai empat negeri yang mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza, Teo berkata, terpulang kepada kerajaan negeri untuk menggunakan logo dan tema yang sama atau tidak.
“Tidak ada paksaan sekiranya mereka (kerajaan negeri) tidak mahu menggunakan logo dan tema sedia ada. Namun, saya ingin ingatkan kepada semua, sebelum menjadi ahli politik, kita semua merupakan warganegara Malaysia.
“Jangan hanya disebabkan perjuangan dalam parti politik, kita lupa bahawa kita semua merupakan warganegara Malaysia. Hari Kebangsaan adalah hari di mana kita meraikan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Saya harap, semua pihak dapat mengetepikan sebarang perbezaan politik pada hari tersebut dan merayakan Hari Kebangsaan sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap di sidang akhbar, Program Pengedaran Jalur Gemilang di KL Sental, Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari dipetik berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN, semalam.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.
Dalam pada itu, Nie Ching mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang tindakan atau hantaran di media sosial yang boleh ditafsirkan sebagai menghina atau tidak menghormati Jalur Gemilang.
“Sekiranya ada, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas. Kami juga akan pastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pelakunya.
“Walaupun kita semua mempunyai pandangan yang berbeza, itu bukan bermaksud tindakan menghina Jalur Gemilang wajar untuk dilakukan. Oleh itu, tidak ada alasan untuk sesiapapun untuk tidak menghormati bendera kita,” katanya.
Tambah Nie Ching, sempena sambutan Hari Kemerdekaan, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel di ibu kota akan beroperasi sehingga pukul 2 pagi pada 30 Ogos nanti.
“Sementara itu, bagi sambutan Hari Kebangsaan 2023 pada 31 Ogos yang bakal diadakan di Dataran Putrajaya, pengangkutan awam dan bas ulang-alik bakal disediakan untuk kegunaan orang ramai seawal pukul 4 pagi.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak orang ramai untuk menyertai sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos nanti. Bawalah ahli keluarga dan Jalur Gemilang untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan pada hari tersebut,” katanya.
KKD mengedarkan sebanyak 600 Jalur Gemilang kepada orang ramai menerusi Program Pengedaran Jalur Gemilang di KL Sental, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Teo, pemberian tersebut bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-66. – KOSMO! ONLINE