fbpx

Kembar tiga curi tumpuan daftar kolej, jurusan sama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fakhrul Amri (kiri), Fakhrul Adli (tengah) dan Fakhrul Asri ketika mendaftar masuk di KKKL, Kuala Langat, hari ini. - Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED / KOSMO!

KUALA LANGAT – Tiga kembar seiras mencuri tumpuan apabila menjadi antara 334 pelajar baharu yang mendaftar dan melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) di sini, hari ini.

Kehadiran Fakhrul Amri Mohd. Razaki, Fakhrul Adli dan Fakhrul Asri masing-masing berusia 18 tahun seawal pukul 8 pagi yang sedondon memakai kemeja jalur hijau dan berseluar coklat turut menimbulkan ‘riuh’ suasana pendaftaran di Dewan Dato’ Haji Sidek KKKL.

Uniknya, tiga beradik dari Puchong itu turut memilih jurusan sama iaitu Sijil Teknologi Maklumat dan bercita-cita mahu menjadi ahli perniagaan.

Fakhrul Amri berkata, mereka bertiga sememangnya sentiasa bersama dan tidak pernah berpisah sejak kecil.

Katanya, mereka merupakan anak kelima, keenam dan bongsu daripada tujuh beradik.

“Kami juga berkongsi minat sama iaitu dalam bidang teknologi maklumat dan gemar bermain permainan video di telefon bimbit.

“Saya bersyukur kerana hubungan kami sehingga kini kekal erat malah belajar di tempat pengajian yang sama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi Fakhrul Asri, dia dan dua abangnya itu sebulat suara memilih jurusan sama kerana mahu memudahkan lagi proses pembelajaran termasuk bertukar idea dan pendapat masing-masing.

“Sudah tentu, saya berharap kami dapat merealisasikan impian menjadi ahli perniagaan kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah KKKL, Suhairi Ismail berkata, kesemua pelajar baharu berkenaan mendaftar melibatkan satu program dan tujuh sijil.

Ini melibatkan pecahan seramai 20 daripadanya mendaftar bagi Diploma Teknologi Bunyi dan Pencahayaan (DSL) diikuti Sijil Teknologi Elektrik (89), Sijil Teknologi Maklumat (57) dan Sijil Pengoperasian Perniagaan (46).

“Selain itu, 40 pelajar turut mendaftar bagi Sijil Perkhidmatan Logistik manakala Sijil Pengembaraan Pelancongan (39), Sijil Animasi 2D (35) dan Sijil Reka Bentuk dan Pembuatan Perabot (8),” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI