KUALA LUMPUR – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah menepati ramalan layak ke pusingan ketiga pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark selepas menewaskan wakil Scotland, Julie Macpherson-Ciara Torrance.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Royal Arena sebentar tadi, gandingan No.11 dunia itu tidak berdepan banyak masalah untuk menewaskan Macpherson-Torrance dengan aksi straight set 21-15, 21-10 dalam tempoh 33 minit.
Walaupun pada awal set pertama, beregu Scotland itu seperti cuba untuk melakar kejutan, namun Pearly-Thinaah kembali memperkemaskan permainan sebelum memastikan slot ke pusingan ketiga menjadi milik mereka.
Kemenangan itu menyaksikan Pearly-Thinaah mengulangi pencapaian tahun lalu apabila mara ke pusingan ketiga sebelum akur dengan kekalahan 16-21, 16-21 kepada jaguh Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Menjelang pusingan ketiga yang dijadualkan berlangsung esok, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu akan bertemu beregu Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.
Satu lagi beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing yang melakukan penampilan kedua pada edisi kali ini tidak dapat mengiringi Pearly-Thinaah ke pusingan ketiga selepas tewas 13-21, 11-21 kepada wakil Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.
Sementara itu, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang beraksi sebagai pemain profesional dijangka berdepan aksi sukar apabila akan turun menentang pilihan kelima dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota sebentar lagi.
Kedua-dua beregu itu pernah bertemu antara satu sama lain sebanyak dua kali sebelum ini pada Terbuka Thailand 2022 dan Terbuka Singapura Jun lalu dengan kedua-dua pertemuan tersebut dimenangi Fukushima-Hirota. – KOSMO! ONLINE