ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan Kerajaan Pusat untuk sambutan peringkat negeri pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan itu selaras dengan keputusan kerajaan Terengganu yang membuat keputusan sama.
“Pendirian kita sama seperti Terengganu iaitu mengikut Kerajaan Persekutuan. Tak ada isu apa pun dengan kita akan menggunakan logo serta tema yang sama kerana sambutan itu di peringkat Persekutuan, jadi kita di negeri ini ikut sajalah.
“Kenapa nak timbulkan perbalahan kerana tindakan sebegini (guna tema dan logo sama) bukan bermakna kita setuju dengan perpaduan atau madani itu. Perpaduankah, madanikah, ‘hang’ bubuh la apa pun tetapi hati kita tetap macam kitalah.
“Yang penting semangat patriotik itulah kerana logan yang lepas itu pun, kita lupa dah. Bukan kita nak ikut Pakatan Harapan (PH) tetapi kerana dah dijadikan slogan nasional, maka kita ikut sajalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE