KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyiasat isu bacaan doa oleh orang islam pada majlis yang turut melibat acara doa orang bukan Islam.
Jabatan tersebut dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum tentang perkara yang berlaku dalam acara ‘Pecah Tanah’ di sekitar Kuala Lumpur baru-baru.
Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan amalan tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang menyalahi pandangan hukum atau fatwa berkaitan yang sedang berkuat kuasa.
“Sebarang kesalahan yang berhubungan dengan Akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas JAWI, keharmonian dan toleransi antara agama adalah perkara yang disarankan oleh ajaran Islam lebih-lebih lagi dalam situasi negara yang berbilang kaum.
Bagaimanapun, menurutnya semua pihak dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada pihak autoriti agama bagi memastikan tindakan yang dilaksanakan mengikut lunas hukum syarak yang telah ditentukan.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 56 minit yang memaparkan seorang lelaki membaca doa di dalam majlis pecah tanah suatu lokasi di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagaimanapun, dalam acara yang sama juga turut diadakan acara doa orang bukan islam.-KOSMO! ONLINE.