SEKTOR perindustrian merupakan salah satu aktiviti ekonomi yang menjadi sumber pendapatan buat sebahagian besar masyarakat di India.
Bagaimanapun, ia juga merupakan salah satu pekerjaan berisiko tinggi kerana kebanyakan kilang tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
Oleh itu, rata-rata mereka terpaksa bekerja dalam persekitaran yang panas sehingga menjejaskan kesihatan, malah pernah meragut nyawa.
Melihat kepada situasi itu, seorang arkitek, Monish Siripurapu, tampil dengan idea dan solusi menangani isu berkenaan.
Pengasas firma reka bentuk, Ant Studio yang berpangkalan di Delhi itu telah mencipta satu sistem penyejukan luar. Ia diilhamkan daripada masalah yang dihadapi oleh pekerja sebuah kilang di Noida.
Sebelum ini, kilang tersebut tular ekoran berlakunya ‘letupan’ haba daripada ‘genset’ (penjana diesel).
Menurutnya, dia berjaya mencipta satu sistem penyejuk yang asalnya merupakan sebuah pendingin hawa tradisional tanpa menggunakan elektrik.
“Sistem ini pada asasnya menggunakan kon terracotta silinder yang disusun dalam corak sarang lebah, di mana air dibenarkan mengalir.
“Udara panas yang masuk ke dalam ‘mesin’ itu mencapai kesan penyejukan selepas ia melalui kon ini, sekali gus menyebabkan suhu sekitar berkurangan,” katanya.
Tambahnya, dia telah menggunakan teknik penyejukan purba supaya air kekal sejuk di dalam periuk tanah.
Dalam pada itu, dia memaklumkan bahawa haba daripada mesin di kilang boleh menjejaskan tahap kesihatan dan produktiviti pekerja.
“Idea ini sangat mudah dan dilaksanakan dengan kecekapan tinggi.
“Penggunaan tanah liat adalah keputusan termaklum kerana sifat penyejukan serta mesra alamnya. Penggunaan keluli dan air boleh dikitar semula serta menjimatkan kos,” ujarnya.
Kata Monish, pihaknya menggunakan kedua-dua belah permukaan ‘sarang lebah’ untuk penyejukan itu.
Dia memaklumkan, pihaknya juga menguji pelbagai konfigurasi dan geometri, sebelum mendapati sarang lebah paling berkesan.
Sistem penyejukan udara ciptaan Monish telah memenangi Cabaran Gaya Hidup Karbon Rendah Asia-Pasifik.
Menerusi anugerah itu, dia menerima geran AS$10,000 (RM46,525) daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Firma Monish merupakan salah satu daripada 12 syarikat baharu yang memenangi anugerah disertai oleh 180 peserta dari 22 negara itu.
Sementara itu, menerusi rekaan tersebut ia dapat membantu menghidupkan semula kraf tembikar yang semakin mati.
Ia dapat menjana semula pekerjaan dalam kalangan pembuat tembikar dengan melibatkan mereka untuk membina kon terracotta.