KUANTAN – Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan melakar sejarah apabila menjadi hospital kerajaan pertama di Pantai Timur melaksanakan pembedahan secara sedar bagi mengeluarkan ketumbuhan di dalam otak.
Pembedahan melibatkan pesakit wanita berusia 38 tahun yang menderita sawan akibat ketumbuhan itu berjalan selama lima jam kelmarin.
Pembedahan telah dijalankan oleh Pakar Perunding Neurosurgeri Dr. Mohd. Aidil Mohd. Nor bersama-sama Pakar Neurosurgeri Dr. Ramissh Paramasivam dan Dr.Vinodh Varaya Perumall dari HTAA.
Bekas Pakar Perunding Neurosurgeri Hospital Pulau Pinang, Dr. Mohammed Azman Mohammad Raffiq dan Pakar Perunding Neuroanestesiologi Dr. Nahemah Hasanaly dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh turut membantu pembedahan itu.
Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, kaedah pembiusan ‘awake surgery’ bagi pembedahan itu merupakan yang pertama seumpamanya dijalankan hospital Kementerian Kesihatan di Pantai Timur.
“‘Awake surgery’mempunyai pelbagai kelebihan berbanding kaedah konvesional, ia merupakan pembedahan yang selamat dan berkesan bagi pesakit dengan ketumbuhan yang kompleks dan berdekatan dengan kawasan kritikal di otak.
“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang amat berbangga dengan pencapaian ini dan semoga lebih ramai lagi pesakit di negeri Pahang khasnya mendapat manfaat dari rawatan ini selari dengan kemajuan teknologi semasa,”katanya.
Menurut Nor Azimi, antara kebaikan kaedah pembedahan itu ialah pakar bedah dapat melakukan pemetaan lokasi tumor dengan tepat dan meminimakan disfungsi saraf pasca pembedahan.
Katanya, ia juga boleh mengurangkan sawan dan masa lebih singkat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tidak memerlukan pemantauan invasif pasca pembedahan.
Malah katanya, selepas pembedahan, kesakitan pesakit melalui prosedur tersebut juga amat kurang berbanding pembiusan penuh.
“Pembedahan dengan menggunakan kaedah ini telah berjaya menyediakan pakar neurosurgeri dan kakitangannya dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan prosedur ‘awake surgery’ dengan selamat dan berkesan pada masa akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE