KUALA LUMPUR – Syarikat makanan dan minuman (F&B), Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) sedang membangunkan sebuah ladang tenusu bersepadu terbesar di Malaysia, dengan keluasan kira-kira 2,726 hektar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, ladang yang terletak di di Gemas, Negeri Sembilan itu bakal menghasilkan 100 juta liter susu segar setiap tahun.
“Selain ladang tenusu, rancangan menggabungkan tanaman makanan ternakan dalam ladang itu sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mengurangkan pergantungan negara terhadap makanan ternakan hasil import.
“Selain itu, ia direka bentuk berdasarkan pertanian lestari, amalan ekonomi bulat dan teknologi hijau,” katanya ketika sambutan ulang tahun F&N ke-140 di Oval Atrium, LG Concourse Level, di 1 Utama Shopping Centre, di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam majlis itu, syarikat tersebut telah menyambut ulang tahun ke-140 jenamanya dengan menampilkan tema “Kisah Kita…Selamanya sekaligus komited dalam menyampaikan “Nikmat Sebenar, Kebaikan Sejati” yang telah membangkitkan kenangan warna-warni yang berkekalan bersama.
Sambutan yang berlangsung hari ini akan berakhir pada Ahad di mana para tetamu berkesempatan mencipta kenangan bersama F&N melalui aktiviti menarik di ‘Pekan F&N’ selain berpeluang memenangi salah satu daripada tiga skuter Vespa edisi terhad.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Hui Choon Kit dan beberapa ahli Lembaga Pengarah F&N serta duta 100PLUS, Datuk Wira Lee Chong Wei dan Datuk Muhammad Azizulhasni Awang.
Sementara itu, Pengerusinya, Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail berkata, dedikasi syarikat terhadap kelestarian telah menempatkan mereka di kedudukan peratusan satu teratas global dalam Supersektor Makanan dan Minuman bagi indeks FTSE4GOOD ESG dalam senarai Jun 2023 yang dikaji oleh Bursa Malaysia, bukti amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat.
“Kami mengambil penganugerahan ini dengan rasa bangga dan tanggungjawab untuk melakukan lebih baik lagi untuk generasi akan datang. Dalam mengembangkan pertumbuhan yang menguntungkan, kami tetap sedar bahawa matlamat kami mesti dicapai dengan cara yang paling lestari.
“Semua pencapaian masa lalu dan kemajuan masa depan hanya boleh dicapai dengan sokongan berterusan dari pelanggan kami selama ini.
“Kami teruja dalam memandang kearah masa depan untuk membina kepentingan bersama pemegang taruh kami dalam mewujudkan perniagaan, masyarakat, dan planet yang lebih baik bersama-sama dengan komuniti yang kami berbakti bersama,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE